'Abang Cik tolonglah balik, mama menangis rindu' - Anggota TUDM hilang selepas berkelah & mandi-manda Sungai Kedondong, ini kronologinya

No Image Caption
A
A
A

KE mana hilangnya Laskar Udara Kanan Muhammad Ammar Mohd Ariffin? Kali terakhir dilihat semasa beriadah bersama rakan-rakan pada 23 Ogos lalu, pemuda berusia 27 tahun itu sudah lebih seminggu tidak dapat dikesan keberadaannya.

Kali terakhir dia dilihat ketika mandi-manda di kawasan rekreasi popular Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor. 

Menerusi laman sosial TikTok, kakak Muhammad Ammar, Anis Aqilah Mohd Ariffin memaklumkan adiknya yang mesra disapa Abang Cik yang bertugas di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang keluar kem pada 22 Ogos untuk berkursus di Institut Latihan Pengurusan Materiel (Insmat) Kinrara Puchong.

Namun pemuda itu tidak kembali ke kem selepas aktiviti rekreasi bersama rakan-rakan. Banyak perkara menimbulkan tanda tanya kepada pihak keluarga.

"Pada 23 Ogos Sabtu dia telah pergi joging dan bertemu rakan di UiTM Shah Alam dan kemudian pergi mandi-manda di Sungai Kedondong, Batang Kali,

"Menurut rakan-rakan, dia datang lambat dan tidak pasti parkir di mana. Tiada yang tahu status Ammar selepas itu.

No Image Caption

"Dia memandu kereta berasingan dan ada rakan memaklumkan, keretanya diparkir agak jauh. Rakannya juga tidak pasti kereta apa yang dipandu," kongsi Anis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, menerusi grup WhatsApp keluarga, Muhammad Ammar menunjukkan status 'last seen' pada jam 5.16 petang hari yang sama dan memandu kereta dengan nombor pendaftaran JDS 6702.

"Saya sudah menyemak dengan hospital sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menggunakan nombor kad pengenalan kecuali Hospital Selayang kerana tidak dapat menghubungi bahagian pendaftaran. Setakat ini tidak sebarang berita," kongsinya.

Dalam hantaran yang sama, Anis merayu agar adiknya pulang kerana ibu mereka, Ummi Rafidah Abdul Samad amat merindui.

"Abang Cik, kalau baca ini tolonglah balik, at least jumpa mama. 

"Kami semua risaukan kau. Apa-apa masalah kita bincang sama-sama dan cari solusi. 

"Mama, papa, Abang Long, Auni dan Aqeel ke Kuala Lumpur dari Melaka untuk mencari kau. Kakak dengan Abang Asraf pun ambil cuti sebab sama-sama risaukan kau.

"Sesiapa yang ada maklumat sila DM saya. Terima kasih," kongsinya.

Difahamkan, pihak keluarga hanya maklum tentang kehilangan selepas dihubungi pihak pengurusan Kem Kinrara melaporkan Muhammad Ammar tidak hadir kursus.

Portal berita tempatan melaporkan Anis mendedahkan kehilangan Muhammad Ammar dilaporkan oleh pihak keluarga di Balai Polis Hulu Yam pada jam 10 malam, 25 Ogos, sementara pihak tentera turut membuat laporan sama di Balai Polis Kinrara, petang itu.

No Image Caption

Susulan laporan itu, operasi mengesan Muhammd Ammar dibuat di kawasan pusat rekreasi Sungai Kedondong tetapi pemuda itu gagal ditemui.

Anis dalam masa yang sama mendedahkan adiknya pernah memberitahu terbabit kemalangan kecil iaitu terlanggar belakang kereta seorang pegawai tentera di Subang. Namun pemuda itu tidak membuat laporan kes berkenaan.

Difahamkan, Muhammd Ammar telah dihubungi pegawai terbabit berrdasarkan nombor plat keretanya.

"Kami tidak pasti adakah adik menyembunyikan diri kerana bimbang dengan kes itu atau sebaliknya. Apa pun kami bimbang kerana kehilangannya sangat mengejutkan kami hingga kini.

"Mama sentiasa menangis rindukannya dan mengadakan solat hajat untuknya. Mama sangat berharap adik menghubungi keluarga dan kita bersama-sama menyelesaikan sebarang masalah jika ada," katanya.

Anis Aqilah berkata, keluarganya buntu untuk mengesan Muhammad Ammar, malah usaha pihak tentera mencarinya setakat ini juga gagal.

"Kami meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui keberadaan adik saya supaya tampil memberikan maklumat kepada polis," katanya.

Difahamkan usaha mencari Muhammad Ammar menemui jalan buntu dan kali terakhir membaca WhatsApp pada telefon bimbitnya ialah pada 24 Ogos lalu.

Berikut adalah ciri-ciri fizikal Muhammad Ammar iaitu berkulit cerah, berambut pendek dan lurus dan ketinggian 175 sentimeter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, Polis Daerah Serdang sedang menjalankan siasatan kehilangan Muhammad Ammar

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung lelai itu boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Sukri Che Mat di talian 03-80762222/03-80713136.

Sumber: Sinar Harian, 2 Berita Harian, TikTok

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang