Hilang lebih 31 jam cari lembu, remaja ditemui selepas laungan azan. '2 kolam terbiar di situ dipercayai 'keras'...'
HILANG selama 30 jam, remaja bernama Muhamad Aidil Asyraf Fadli, menjadi perhatian.
Keluar dari rumah 6.30 petang Rabu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu itu hilang ketika mencari lembu mengundang tanda tanya ahli keluarga dan pihak berkuasa.
Sementelah kawasan hutan yang berkeluasan kira-kira 0.8 hektar di Kampung Permatang Pasir, Merlimau itu lokasi biasa beliau menjaga lembu tiga tahun lalu.
Lebih memilukan, sebelum keluar melakukan rutinnya, Muhamad Aidil sempat meminta RM3 daripada ibunya untuk membeli minuman.

Lapor Sinar Harian, hanya selepas 31 jam, remaja itu ditemui ketika azan dilaungkan di belakang rumah rumah penduduk kampung berkenaan.
Muhamad Aidil kelihatan lemah hingga terpaksa dipapah.
Artikel berkaitan:
- Remaja huffaz al-Quran hilang 96 jam minum air parit, ditemui selepas azan, ini kronologinya
- Rasa seperti tertidur satu jam, berikut kronologi kejadian remaja hilang 30 jam di Gua Musang
- Kronologi kehilangan Akmal di Pulau Mawar, 2 bulan tiada pentunjuk, keluarga tawar ganjaran RM50,000 jika temui
Berikut kronologi kejadian kehilangan yang membawa kepada penemuan:
1-Menurut ibu, Siti Norehan Azhar, 38, kali terakhir beliau bertemu Muhamad Aidil sebelum kehilangan ialah pada 6.30 petang, Rabu.
2-Difahamkan, anak kedua daripada enam beradik itu rajin membantu menjaga 13 ekor lembu milik bapa saudaranya dan akan menjaga haiwan ternakan itu dari jam 7 malam hingga 7.30 malam.
3- Apabila mendapati anaknya belum pulang pada jam 8 malam, Siti Norehan mula tertanya-tanya manakala sepupunya dilaporkan keluar mencari.
4-Ketika mencari, sepupunya sempat melaungkan azan. Seekor lembu yang hilang ditemui berada di dalam salah satu daripada dua buah kolam terbiar di hutan itu.

5-Setelah menunggu namun anaknya masih tidak ditemui, Siti Norehan membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.
6-Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhamad Aidil dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasanpada jam 11.54 malam.
7-Pencarian anggota bomba termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta unit anjing pengesan (K9) polis turut dibantu orang kampung.
8-Pencarian turut membabitkan dua kolam terbiar yang dipercayai 'keras', namun tiada sebarang petunjuk mengenai kehilangan mangsa ketika itu.
9-Misi SAR memasuki hari ketiga. Selepas hampir 32 jam hilang, pada 1.57 pagi Jumaat, Muhamad Aidil yang memakai baju-T berwarna hijau ditemukan dalam keadaan lemah.
10-Berdasarkan siaran langsung di aplikasi TikTok, Muhamad Aidil yang lemah terpaksa dipapah oleh dua anggota bomba, manakala kedengaran penduduk kampung melaungkan azan ketika kejadian.

11-Difahamkan, keberadaan remaja itu dikesan selepas mereka terdengar suaranya mengerang dalam keadaan terbaring di kawasan semak di belakang rumah penduduk sebelum berjaya diselamatkan.
12-Muhamad Aidil kemudian dibawa ke rumah penduduk berdekatan untuk berehat sebelum dilihat berpelukan dengan ibu bapanya dalam keadaan menangis.
Sementara itu, seorang aktivis, Kanda Zakiyy yang terlibat dalam misi pencarian menerusi TikTok berkongsi keadaan Aidil ketika ditemui.
Remaja itu kelihatan menangis ditenangkan keluarga.
"Alhamdulillah Aidil djumpai dalam keadaan selamat," kongsinya.
Warga maya yang mengikuti kisah kehilangan Muhammad Aidil rata-rata terharu dan menitipkan kesyukuran dengan penemuan itu. Ujar mereka;
"Alhamdulillah syukur. Allahuakbar ! Terima kasih semua yg membantu. Akhirnya adik Aidil dijumpai dalam keadaan selamat."
"Kesiannya. Mesti Aidil ni trauma keseorangan dalam hutan berhari-hari. Syukur ditemui selamat"
"Berkat malam Jumaat, hari Arafah. ALLAH memakbulkan doa."
PROSEDUR MELAPORKAN ORANG HILANG
Panik dan takut tentu dirasai, apatah lagi apabila orang yang tersayang secara tiba-tiba tidak dapat dikesan atau ditemui.
Ramai yang membuat hebahan menerusi laman sosial sebagai usaha mencari ahli keluarga yang hilang.
Apa juga usaha yang dilakukan, ia perlu dilaksana dengan berhati-hati bagi menjaga keselamatan kanak-kanak dan keluarga.
Berikut tujuh info penting berkaitan prosedur dan cara betul membuat laporan orang hilang:
1-Hebahan kehilangan ahli keluarga perlu menggunakan platform yang betul.
2-Misalnya, bagi kes kanak-kanak hilang, ahli keluarga terlebih dahulu perlu membuat laporan polis dan menyerahkan tindakan hebahan dibuat oleh pihak polis melalui sistem hebahan yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk memastikan maklumat kanak-kanak disebar luas dengan mekanisme betul.
3-Hebahan kanak-kanak hilang perlu mengikut SOP yang digariskan polis bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dan ahli keluarga tidak terancam dan disalahgunakan.
4-Hebahan hanya akan dibuat dengan kebenaran bertulis ibu bapa setelah siasatan polis mendapati tiada melibatkan unsur tebusan dan ancaman.
5-Hebahan juga hanya memaparkan butir yang terhad seperti gambar kanak-kanak yang hilang, nama, nombor laporan selain nama dan nombor telefon pegawai penyiasat.
6-Bagi kes kanak-kanak hilang, polis dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat membangunkan sistem amaran awal kanak-kanak hilang yang dikenali sebagai “National Urgent Response Alert” (NUR Alert ) bagi membuat hebahan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun yang dilaporkan hilang.
7-Hebahan melalui NUR Alert hanya akan dibuat oleh pasukan petugas yang diluluskan oleh polis seperti pihak Facebook, bank, syarikat telekomunikasi yang sehingga kini berjumlah 41 ahli petugas daripada pelbagai agensi.
Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3, TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
