Acu pisau dan paksa masuk kereta, remaja lelaki ini nyaris jadi mangsa culik

No Image Caption
A
A
A

SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun berdepan detik cemas apabila hampir menjadi mangsa culik dua individu ketika sedang berjoging di Seksyen 13, Shah Alam pada Isnin.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa pada jam 10.42 malam tadi.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa sedang berjoging seorang diri sebelum didatangi sebuah kereta lama berwarna kelabu dipercayai jenis Proton Saga atau Iswara yang dinaiki dua lelaki.

“Salah seorang suspek kemudian turun dari kereta lalu mengacukan pisau dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta.

“Pengadu enggan dan bergelut dengan suspek sebelum berjaya melarikan diri ke pondok pengawal kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

No Image Caption



Tambah beliau, pergelutan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan berupa luka pada pipi sebelah kanan serta luka di bahagian lengan kanan dan kiri.

Sejurus selepas kejadian, mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628,” jelasnya.

No Image Caption



Sementara itu, tular di media sosial satu mesej yang dipercayai dikongsi oleh bapa mangsa, menceritakan semula detik cemas yang dilalui anaknya, sekali gus menjadi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati.

Pada masa sama, beliau bersyukur anak lelakinya selamat dan hanya mengalami luka kecil.

“Walaupun saya dan isteri amat terkejut dengan peristiwa ini, syukur anak kami terselamat dan berjaya melarikan diri daripada bahaya tersebut. Alhamdulillah, luka yang dialami juga tidak serius, cuma torehan kecil akibat libasan serangan itu.

“Saya juga telah membuat laporan polis dan berharap agar pihak berkuasa dapat memberkas penyerang yang cuba menculik anak saya.

“Saya ingin mengingatkan semua supaya lebih berhati-hati ketika berada di kawasan luar perumahan sekitar KGSAAS kerana tidak mustahil penculik tersebut akan kembali untuk melakukan perkara sama kepada orang lain,” tulisnya.



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang