Baju hujan tersangkut rim punca tangan kanak-kanak tersepit di tayar motorsikal

No Image Caption
A
A
A

SEORANG kanak-kanak berdepan dengan detik cemas apabila tangannya tersepit di tayar motosikal disebabkan baju hujan mangsa tersangkut pada rim kenderaan tersebut.

Kejadian tersebut berlaku di Jalan Tok Wan Don, Kampung Permatang Pasir ketika dia dalam perjalanan ke sekolah pada Isnin.

Menurut sumber Sinar Harian, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan jalan raya pada jam 9.44 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian.

No Image Caption



“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Tangan kanak-kanak berusia 11 tahun yang membonceng motosikal itu tersepit di tayar kerana pakaian hujannya tersangkut di rim motosikal.

“Mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan.

Dilaporkan mangsa berada dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut.

Operasi tamat pada jam 9.58 pagi.

No Image Caption



Sekarang ini kerap berlaku hujan di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, bagi yang menunggang motosikal, adalah penting untuk memastikan jaket atau baju hujan dipakai dengan betul bagi menjamin keselamatan anda. Berikut adalah beberapa panduan penting:

1. Elakkan memakai jaket terbalik atau tidak diketatkan

Memakai jaket secara terbalik atau tidak menzipkannya boleh menyebabkan jaket mengibas kuat semasa menunggang, terutama pada kelajuan tinggi. Ini boleh menyebabkan jaket tersangkut pada bahagian motosikal seperti tayar atau rantai, atau pada kenderaan lain semasa mencelah, yang boleh mengakibatkan kehilangan kawalan dan kemalangan serius.

2. Hindari jaket yang terlalu panjang atau longgar

Berisiko tersangkut pada bahagian motosikal seperti rantai atau tayar. Pastikan jaket yang dipakai sesuai dengan saiz badan dan tidak terlalu labuh untuk mengelakkan risiko ini.

3. Gunakan jaket dengan ciri reflektif

Memakai jaket berwarna cerah atau yang mempunyai jalur reflektif dapat meningkatkan keterlihatan anda kepada pengguna jalan raya lain, terutamanya pada waktu malam atau dalam keadaan cuaca buruk. Ini membantu mengurangkan risiko kemalangan akibat tidak dilihat oleh pemandu lain.

4. Pilih material yang sesuai

Pilih jaket yang diperbuat daripada bahan seperti poliester atau sintetik yang cepat kering jika terkena air. Elakkan bahan kapas kerana ia lambat kering dan boleh menyebabkan ketidakselesaan semasa menunggang dalam keadaan basah.

5. Pastikan jaket dipakai dengan betul

Sentiasa pastikan jaket dipakai dengan betul dan diketatkan. Jangan biarkan jaket terbuka atau longgar semasa menunggang, kerana ini boleh menyebabkan ia mengibas dan meningkatkan risiko tersangkut pada objek lain.

Dengan mengikuti panduan ini, anda dapat meningkatkan keselamatan semasa menunggang motosikal dan mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada pemakaian jaket atau pakaian yang tidak sesuai.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang