Bau harum di makam Nurly, Dr Zulkifli pesan jangan terlalu taasub hingga mengundang khurafat

No Image Caption
A
A
A

FENOMENA bau harum dari kubur Allahyarham Nurly Sahirah menjadi sebutan netizen di media sosial. Rumah keluarganya juga dibanjiri tetamu yang tidak dikenali dari pelusuk negeri.

Pelbagai rakaman viral dan siaran langsung menggambarkan bau wangi itu ‘memukau’ para pengunjung sehingga ada yang kata “harum semerbak terasa sampai ke kereta.”

Bagi meredakan pelbagai reaksi orang ramai, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengatakan fenomena itu bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah Islam.

“Dalam catatan para ulama terdahulu, kita membaca tentang para huffaz dan pencinta al-Quran yang mana jasad mereka tidak reput atau kubur mereka memancarkan bauan yang menyenangkan. Apa yang harus kita fahami di sebalik peristiwa ini?

“Apa yang kita lihat pada jasad dan kubur bukanlah ukuran hakiki martabat seseorang di sisi ALLAH. Ia tanda rahmat dan kasih sayang dan dengan izin-NYA sebagai tanda husnul khatimah. Tetapi ia bukan lesen untuk kita membina mitos apatah lagi jatuh dalam perangkap taasub atau khurafat,” ulasnya yang dimuat naik di akaun Facebook Maktabah Al-Bakri.

No Image Caption

Tambahnya lagi, kisah seperti ini sepatutnya dijadikan iktibar dan ikutan, menyuntik semangat masyarakat untuk mendekatkan diri dengan kalam ALLAH.

Jadikan al-Quran teman kita di dunia, agar ia menjadi syafaat di akhirat.

Jangan biarkan keindahan kisah ini dibayangi amalan yang menyimpang jauh seperti menyapu tanah kubur untuk dijadikan azimat atau mengharapkan keberkatan dengan menziarah hanya kerana wangian semata-mata.

“Dalam kegembiraan dan keterujaan berkongsi berita seperti itu, janganlah kita membuka ruang fitnah atau menyebar sesuatu yang boleh menimbulkan sangka buruk. Elakkan dari melakukan perkara di luar adab dan adat kebiasaan ketika menziarahi kubur.

“Kepada para asatizah, hentikan perselisihan kecil dalam isu ini. Bimbing masyarakat supaya bersatu atas cinta kepada al-Quran dan mengamalkannya,” katanya lagi dengan pesanan ringkas marilah kita jadikan al-Quran teman hidup bukan sekadar hiasan di rak.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang