Bella terharu anak berjaya renangi 400 meter laut, Ayden akui dapat semangat dari Syed Saddiq. ‘Saya lihat uncle dahulu…’
IBU mana yang tidak tersentuh apabila melihat anak sendiri berjaya mengharungi cabaran besar.
Itulah yang dirasai oleh Bella Astillah apabila anak sulungnya, Ayden Adrean, berjaya menamatkan satu acara renang sempena Pesta Renang Langkawi (LSF) yang berlangsung di Dataran Tanjung Rhu, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram, pemilik nama Dayang Ara Nabellah Awang Astillah meluahkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaian Ayden yang berjaya berenang sejauh 400 meter walaupun hanya sempat berlatih dalam masa yang singkat.
“Pertandingan renang pertama anak lelaki saya, 400 meter di laut dengan hanya berlatih selama seminggu. Memang sangat takut sampai tak terkeluar suara (air mata yang keluar).
“Tak sangka, tapi dia berjaya lakukannya. Dia berenang dengan sepenuh hatinya dan berjaya ke garisan penamat,” kata Bella.
Ibu kepada dua orang anak itu juga mengakui bahawa dirinya sendiri tidak tahu berenang dan pernah mengalami trauma dengan air menyebabkannya berasa sangat cemas dan risau sepanjang acara tersebut berlangsung.

Namun, semua rasa itu bertukar menjadi tangisan kegembiraan apabila melihat keberanian Ayden, yang baru berusia lapan tahun, menamatkan cabaran tersebut dengan jayanya.
“Saya menangis, dan satu keluarga pun menangis sebab dia berjaya lakukannya. Anakku yang kuat, Ayden.
“Kamulah anak sulungku, kebanggaanku dan segalanya buatku. Sebagai ibu dan ayah dalam satu, aku akan melindungimu, membimbingmu dan bersorak untuk kamu serta menyayangimu tanpa henti, insya-ALLAH.
“Mommy sayang Ayden sangat-sangat. Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata,” tulis Bella.
Turut kelihatan di lokasi ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sempat menyaksikan sendiri detik kejayaan Ayden di garisan penamat. Beliau turut berkongsi rasa bangga terhadap pencapaian Ayden walaupun masih muda.
“Walaupun sebelum ini Ayden takut dengan laut, dia memiliki hati seperti singa. Ayden berjaya menamatkan pertandingan berenang terbuka pertamanya dengan hanya seminggu sesi latihan.
“Disiplin, keazaman dan kegigihan yang tidak berbelah bahagi sememangnya memberi inspirasi. Ayden, bakal menjadi Iron Kid,” tulis beliau di ruangan komen perkongsian tersebut.
Ayden terinspirasi daripada ‘uncle’ Syed Saddiq

Dalam satu sesi siaran langsung bersama ibu saudaranya, Didi Astillah, Ayden sempat berkongsi punca semangat dan motivasinya untuk menyertai acara renang tersebut.
“Saya lihat uncle (Syed Saddiq) dahulu. Uncle lakukan 4km dahulu. Jadi, saya tengok uncle dahulu,” katanya.
Perkongsian itu menjadi tular selepas netizen memuat naik semula video berkenaan di TikTok, yang turut menyelitkan aksi Syed Saddiq menamatkan renangan sejauh empat kilometer dalam masa lebih dua jam dan itulah detik yang mendorong Ayden menamatkan renangan 400 meternya dengan penuh semangat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
