'Bibirnya pucat tiba-tiba'- Ibu ini kongsi detik cemas di udara, kru penerbangan dipuji cekap bantu bayi sesak nafas
TIADA siapa sangka, penerbangan pulang ke tanah air yang sepatutnya berjalan lancar bertukar menjadi satu pengalaman yang akan dikenang seumur hidup.
Satu insiden pada pagi Jumaat, 4 Julai 2025 menjadi detik mencemaskan buat seorang ibu, Jacyntha Florentius.
Melalui status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, penerbangan AK115 dari Guangzhou ke Kuala Lumpur pada mulanya berjalan seperti biasa.
Anak yang berada di pangkuannya tidur dengan nyenyak. Namun, selepas sejam 30 minit perjalanan, tiba-tiba Natashya Sofea yang mesra dengan panggilan Tashya mengalami sesak nafas.
Perubahan drastik pada Tashya yang berusia 1 tahun 7 bulan berlaku sekelip mata. Selepas menyusu badan, tiba-tiba bibirnya menjadi pucat, badan lemah dan keadaannya tidak responsif.
Ibu mana yang tidak risau apabila keadaan kecemasan seperti ini berlaku, tambahan pula ketika berada di udara.
Dia berusaha menepuk belakang, menggosok tangan dan kaki anaknya sambil memanggil kru penerbangan untuk membantu.
Kru AirAsia yang bertugas kelihatan profesional menangani masalah sebegini. Mereka segera memberikan bantuan oksigen kepada Tashya dan dalam beberapa minit, keadaannya menjadi lebih baik.
Jacyntha berkata, tanpa berlengah, kru membuat pengumuman kepada semua penumpang untuk mencari doktor dalam penerbangan itu.
Nasib menyebelahi mereka apabila seorang doktor tampil memberikan bantuan segera. Tidak cukup di situ, juruterbang juga membantu dengan menurunkan altitud pesawat perlahan-lahan.
Arahan untuk pendaratan kecemasan ke Ho Chi Minh kemudian diberikan demi menjaga keselamatan Tashya.
Tiga puluh minit sebelum mendarat, kru terlibat terus-menerus membuat pemeriksaan keadaan anaknya sambil mengusap tangan dan kakinya.
Sebaik tiba di Ho Chi Minh, Jacyntha, suami dan anaknya disambut oleh pasukan perubatan yang telah tersedia.
Manakala di hospital, Tashya dan keluarganya diiringi seorang kakitangan AirAsia, Alan Vuu yang sentiasa bersama mereka dan menguruskan segalanya dari awal hingga akhir.
Tashya mendapat rawatan pantas yang mana ECG, X-ray dan pemeriksaan lain disiapkan dalam masa sejam sahaja.
Selepas situasi terkawal, AirAsia mengaturkan penerbangan pulang percuma ke Kuala Lumpur buat mereka sekeluarga dan menyediakan sokongan penuh sehingga mereka selamat tiba di ruang menunggu.
Menjawab pertanyaan warganet di ruangan komen, Jacyntha memberitahu, anaknya mengalami masalah altitude sickness iaitu satu keadaan yang terjadi ketika seseorang berada di ketinggian yang tinggi.
Dalam hantaran itu juga, wanita yang berasal dari Papar, Sabah itu mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua kru yang terlibat.
Antaranya ialah Kapten Sangeran Surendran, SFO Muhammad Syafiq Nor’en, SCC Mohd Ridzwan Ong, CC Stephenie Unyang Dungo, CC Nurul Nasuha Mohd Maznan dan CC Amirul Ariffin Junaidi, selain kakitangan darat Ho Chi Minh, Alan Vuu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
