Brek mengejut hingga anak terhumban & cermin retak, netizen kecam ibu bapa cuai

MALANG tidak berbau terutama ketika menaiki kenderaan. Keselamatan diri sendiri dan penumpang perlu menjadi keutamaan.
Satu klip video mengejutkan tular baru-baru ni, menunjukkan seorang kanak-kanak tercampak ke arah cermin hadapan sebuah kereta selepas pemandu tiba-tiba menekan brek mengejut bagi mengelak pelanggaran dengan kenderaan di hadapan.
Apa yang membuatkan netizen lebih terkejut, kanak-kanak itu dilihat berdiri bebas di tempat duduk penumpang hadapan tanpa pemakaian tali pinggang keledar atau kerusi keselamatan kanak-kanak.
Dalam video itu juga, kelihatan pemandu seperti sedang memandang dan bercakap dengan kanak-kanak di sebelahnya sebelum terkejut melihat kenderaan di hadapannya berhenti.
Anak kecil itu terhumban terus ke arah cermin hadapan, menghentam kepala dahulu dan hentakan di bahagian dada kerana terkena stereng kereta.
Lebih membimbangkan apabila kelihatan kesan retakan pada cermin hadapan ketika pemandu mengalih kanak-kanak itu ke tempat lain selepas kejadian.
Rakaman yang dipercayai daripada video papan pemuka itu telah mencetuskan kemarahan warga maya. Ramai menegur kecuaian pemandu kerana tidak mengutamakan keselamatan si kecil.
“Bukan semua orang boleh jadi ibu bapa. Saya sangat berharap anak itu akan baik-baik sahaja dan tiada kecederaan serius. Impak tercampak sangat kuat. Kasihan.”
"Saya lebih bimbang kecederaan pada kepalanya sampai retak cermin depan tu!.
“Ini kesilapan ibu bapa yang memandu. Tindakan tegas harus diambil atas kecuaian tersebut," ujarnya.
Netizen menegaskan bahawa insiden itu sepatutnya tidak berlaku langsung sekiranya langkah keselamatan asas diambil terutamanya melibatkan anak kecil yang lebih terdedah kepada kecederaan teruk ketika kemalangan.
Bagi kanak-kanak berusia sekitar 7 tahun ke bawah, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak adalah amat penting. Ini kerana kebanyakan tali pinggang keledar yang sedia ada pada sesebuah kenderaan adalah tidak sesuai untuk saiz badan dan ketinggian mereka.
Jika bayi di tangan ibu pun boleh tercampak semasa kemalangan inikan pula kanak-kanak yang sudah besar.
Insiden ini menjadi satu lagi peringatan penting buat semua ibu bapa dan penjaga dalam kereta, tiada kompromi bila melibatkan keselamatan anak-anak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang