Cinta lama bertaut kembali selepas 50 tahun, kisah pasangan 81 dan 77 tahun ini buat ramai tersentuh!
BERLARILAH ke mana pun, jika kau milikku, maka kau tetap milikku. Trend yang sedang hangat di dunia sosial media ini menjadi ikutan setiap pasangan yang telah berumah tangga.
Terbaharu, ramai netizen mengatakan pasangan merpati dua sejoli, Prof Datuk Dr Md Sham Kassim, 81 dan isterinya, Azizah Alias, 77 sebagai pemenang utama trend ini.
Mereka yang telah diijabkabulkan pada Sabtu dalam majlis yang ringkas di Kampung Lada Tanah Datar, Rembau menjadi ‘buah mulut’ warga maya bahawa jodoh tak kenal usia.
Menurut laporan Sinar Harian, pasangan itu sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah tetapi terputus hubungan sejak lima dekad.
Perkenalan bermula apabila anak buah Azizah memperkenalkan pensyarahnya yang merupakan Dr Md Sham kepada ibu saudaranya.
Tak sangka, rupanya Azizah mengenali lelaki tersebut.
Bukan mudah untuk wanita tersebut menerima kehadiran seorang suami dalam hidupnya apatah lagi itu merupakan perkahwinan pertamanya.
Namun, galakan daripada adik-beradik dan anak saudara maka hubungan itu diteruskan hingga ke jinjang pelamin.

Dr Md Sham yang merupakan bekas pakar perubatan kanak-kanak berkata, selepas kematian isteri enam bulan lalu, hidupnya terasa sunyi.
Pada awalnya anak-anak kurang bersetuju dengan keputusannya untuk berkahwin semula.
Tetapi beliau yang juga bekas pensyarah berjaya meyakinkan mereka.
Sementelah pada usia emas sebegini, beliau memerlukan seorang teman dan enggan bertangguh akan niat baik itu.
Apatah lagi, lelaki berkenaan juga cukup tertarik dengan perwatakan Azizah yang ramah dan baik hati.
Kisah tersebut bukan sahaja membahagiakan, tetapi mampu menjadi sumber semangat dan harapan kepada insan yang masih belum berkahwin.
SinarPlus mendoakan semoga pasangan berkenaan dikurniakan mawaddah, sakinah dan rahmah dalam rumah tangga yang dibina. Semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
