Cubaan viralkan pemandu bas makan diri, netizen pula tegur geng basikal
NIAT di hati nak viralkan pemandu bas, tetapi lain jadinya. Geng kayuh basikal pula yang kena maki beramai-ramai oleh netizen.
Itulah nasib sekumpulan penunggang basikal yang berkongsi satu rakaman video menunjukkan pemandu bas cuba menghimpit mereka ketika sedang menunggang di atas jalan raya utama.
Video tersebut dimuat naik dengan nada marah, siap tunjuk nombor plat bas, pengenalan diri pemandu, mungkin harapan mereka supaya pihak pengendali bas ambil tindakan tegas terhadap pemandu berkenaan.
Namun, selepas video itu tular, reaksi netizen memang di luar jangka. Hampir kesemua komen menyelar sikap geng basikal itu sendiri.
Rata-rata pengguna media sosial nampak jelas siapa sebenarnya yang ‘bersalah’ di mata mereka dan membahayakan orang lain di atas jalan.
Kejadian yang berlaku semalam memang nampak secara terang-terangan kumpulan penunggang basikal beramai-ramai berada di atas jalan raya secara “side by side”, bukan dalam satu barisan seperti yang sepatutnya.
Mereka guna laluan utama, bukan kekal di tepi jalan atau lorong kecemasan. Ini bukan sekadar hobi sihat, tetapi boleh mengganggu aliran trafik dan membahayakan nyawa sendiri serta orang lain.
Netizen juga mempertikaikan kenapa rakaman itu disebarkan dengan maklumat penuh pemandu, sedangkan mereka sendiri melanggar etika keselamatan jalan raya.
Dalam video sama juga kelihatan pemandu bas turun dari kenderaan untuk berdepan dengan geng penunggang basikal tersebut seorang diri tanpa gentar walaupun dikerumuni.
Mujur, kereta peronda melalui lokasi berkenaan dan berjaya tenangkan keadaan.
Tindakan matang pemandu bas itu mendapat pujian ramai. Ada yang kata dia patut diberi sijil penghargaan, bukannya digantung kerja atau dikenakan tindakan.
Salah seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Izwaashura Sadali meninggalkan komen.
“Dah banyak kali nampak geng roadbike ni makan jalan. Bukan kayuh berbaris di lorong kecemasan. Kita pula yang kena pandai elak dan berjaga-jaga dengan mereka," ujarnya.
Tak kisah naik bas, naik basikal, naik motosikal atau jalan kaki sekalipun, semua ada tanggungjawab untuk hormat peraturan jalan raya dan sama-sama jaga keselamatan diri serta orang lain. Kena faham, jalan raya bukan tempat untuk beraksi.
Nak berbasikal untuk kesihatan dan hobi? Bagus. Tapi pilih laluan yang sesuai.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
