'Dia sanggup berkorban, tak mahu susahkan kami'- Atlet angkat berat meninggal akibat kanser, ibu sebak terima faedah PERKESO
PEMERGIAN atlet angkat berat wanita Terengganu, Siti Noralyaa Mat Marzuki, 25, akibat kanser payudara cukup meruntun jiwa. Di sebalik kesedihan itu, keluarga arwah terharu apabila dimaklumkan bahawa beliau pernah mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekaligus meninggalkan sedikit manfaat untuk warisnya.
Menurut ibunya, Rusmailaili Samsuri, 43, dia langsung tidak mengetahui anak sulungnya itu ada membuat caruman menerusi skim PERKESO sehinggalah diberitahu oleh pihak agensi berkenaan selepas pemergian Siti Noralyaa.
“Saya benar-benar terkejut. Sebak sangat bila dapat tahu arwah ada tinggalkan sesuatu untuk kami sekeluarga. Saya tak pernah tahu pun dia mencarum dengan PERKESO,” katanya dengan nada hiba ketika ditemui di rumah mereka di Taman Batin Perdana, Kuala Nerus.
Rusmailaili turut mendedahkan bahawa dia hanya menyedari keadaan kesihatan anaknya semakin merosot selepas sambutan Hari Raya Aidiladha lalu.

“Lepas raya baru kami sedar dia sakit. Waktu itu dia dah tak mampu bangun, tapi tetap tak mahu ke hospital. Dia risau susahkan kami… sebab adik-adiknya masih kecil, tak ada siapa boleh jaga mereka,” luahnya.
Memetik Sinar harian, Siti Noralyaa menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sekitar jam 7.40 malam, Sabtu lalu selepas hampir sebulan terlantar menerima rawatan. Arwah merupakan anak sulung daripada enam beradik dan amat rapat dengan semua adiknya, terutama si bongsu yang baru berusia lapan tahun.
Menurut Rusmailaili, walaupun sudah tidak bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), anaknya tetap berusaha membantu keluarga dengan bekerja di sebuah stesen minyak kerana memahami keadaan kewangan mereka yang bergantung kepada pendapatan suami sebagai pemandu lori roti.
“Arwah jenis tak banyak cakap, tapi dia ambil tanggungjawab besar dalam keluarga. Dia sanggup kerja apa saja demi bantu kami,” katanya lagi.
Allahyarhamah pernah mengharumkan nama Terengganu apabila meraih pingat gangsa dalam acara angkat berat kategori 71 kilogram pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022. Namun, enam bulan lalu, dia disahkan menghidap kanser payudara tahap empat, namun memilih untuk memendam derita tanpa berkongsi dengan keluarga.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Terengganu, Suhara Mustaffa berkata, pihaknya tampil memberikan penjelasan dan menyampaikan manfaat yang layak diterima oleh waris arwah, termasuk Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat berjumlah RM897 sebulan bermula Ogos ini.
“PERKESO amat prihatin terhadap kebajikan pencarum, termasuk atlet negeri yang berkhidmat dan pernah mencarum di bawah skim yang disediakan. Ini membuktikan pentingnya perlindungan sosial yang menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa manfaat itu diberikan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), sama ada melalui caruman secara sukarela atau disumbangkan oleh majikan.
“Bayaran pencen ini akan disalurkan secara bulanan dan jika ibu bapa masih hidup, mereka akan terus menerima manfaat ini mengikut syarat yang ditetapkan,” jelas Suhara.

Dalam tempoh dua tahun ini, seramai 25 atlet telah menerima manfaat rawatan dan pemulihan di bawah skim berkenaan termasuk dua pemain Terengganu FC (TFC) yang kini menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO.
Majlis penyerahan faedah kepada keluarga arwah disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim serta Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

