Diuji hilang sebelah tangan tak patahkan semangat Cikgu Abdullah, bangkit jadi inspirasi & raih Guru Cemerlang OKU!

GURU ibarat pelita yang menerangi kegelapan. Mendidik tanpa jemu biarpun selepas bertukar status menjadi orang kurang upaya (OKU), semangat dan kegigihan Cikgu Abdullah Kadir jadi inspirasi!
Sering muncul di laman sosial TikTok, rupanya guru penyayang dari Sekolah Kebangsaan Tok Uban (SKTU) ini pernah melalui detik hitam yang merubah segalanya.
Hanya selepas lapan bulan melapor diri sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur pada 2 Mei 2017, Abdullah, 32, terlibat kemalangan tragis hampir meragut nyawa pada 26 Mac 2018 sehingga kehilangan tangan kanan dari siku ke bawah sekali gus cacat kekal.
Dalam satu temu bual, beliau berkongsi bahawa walaupun kehilangan anggota badan adalah satu dugaan besar, beliau bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup.

“Ramai yang pandang pelik lihat keadaan saya, sedangkan ahli keluarga semua menangis,” ujarnya.
Kejadian berlaku ketika beliau sedang memandu di kawasan Bentong-Raub dan kereta yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 25 meter!
Akibatnya, beliau tersepit di dalam kenderaan dan tangan kanannya parah sehingga terpaksa dipotong.
Tragedi itu menyebabkan tangan kanannya (tangan dominan) tidak dapat diselamatkan.

"Saya sudah tahu tangan kanan telah mati sebaik sedar dari pengsan seketika sebelum pasukan menyelamat tiba," kongsi Cikgu Abdullah.
Biarpun melalui episod trauma, semangat Cikgu Abdullah luar biasa. Menyedari kemahiran menulis adalah nyawa seorang guru, beliau bangkit mengubah 'takdir' dengan melatih tangan kirinya.
Bahkan, guru yang mesra disapa ustaz dalam kalangan pelajar itu turut menggunakan kedua kakinya menjadi pengganti tangan kanan dan melatih tangan kiri, dari menulis, mewarna hingga mengajar di papan putih.

"Saya bersyukur masih diberikan kesempatan untuk meneruskan kehidupan dan terus berbakti kepada anak bangsa.
"Hilang tangan dominan ketika itu umpama hilang segala kemahiran. Memegang sudu untuk makan pun saya tidak mampu. Tapi saya memilih untuk tersenyum, lapang menerima ketetapan takdir.
"Takdir telah ditetapkan dan saya percaya ketetapan ALLAH adalah yang terbaik untuk kehidupan dunia dan akhirat saya.
"Kemahiran menulis adalah nyawa seorang guru," titipnya.

Tidak mahu menjadikan kekurangan diri sebagai alasan, Cikgu Abdullah cuba sedaya upaya meletakkan dirinya sebaris dengan guru-guru lain. Patah sayap, bertongkat paruh, guru inspirasi ini enggan berkata tidak sebelum mencuba.
"Projek transformasi bilik dan darjah dan pembukaan semula bilik agama di SKTU menjadi simbol kebangkitan saya demi cinta pada profesion perguruan dan demi anak bangsa tercinta.
"Menjadi guru kelas budak kelas belakang tidak sesekali menjadi alasan untuk saya abaikan mereka sebaliknya mereka dididik dengan penuh kasih sayang, nilai dan adab.
"Kelas cikgu OKU dan budak Kelas Belakang tidak pernah memberi peluang kepada kelas lain dalam pertandingan kelas bersih dan ceria. Kejayaan ini simbol rasa cinta saya kepada kerjaya dan anak didik," kongsinya.

Baru-baru ini, figura hebat itu merangkul Anugerah Guru Cemerlang OKU Negeri Kelantan selepas beberapa sumbangannya di peringkat negeri.
"Pada tahun 2024 saya telah melatih dua orang murid untuk pertandingan STEM Talent Show sehingga berjaya menjadi Johan Negeri Kelantan dan menjadi wakil Kelantan ke peringkat kebangsaan,
"Semangat juang itu telah membawa saya dan anak didik ke pentas kebangsaan di negeri Kedah. Ia cukup bermakna dan menjadi sejarah kebangkitan perjuangan saya sebagai seorang guru OKU.
"Saat saya diamanahkan melatih kumpulan nasyid, saya tidak menolak walaupun diri saya serba kekurangan.

"Alhamdulillah dengan semangat luar biasa kami berjaya merebut takhta johan daripada sekolah yang bertahun memegangnya. Cukup menjadi simbol perjuangan seorang guru OKU demi melihat kejayaan anak didiknya," tambahnya.
Kisah Cikgu Abdullah adalah simbol kegigihan dan kekentalan sebenar.
Dalam dunia yang sering kali melebihkan kesempurnaan fizikal, semangat juang tinggi dan jiwa pendidik beliau membuktikan bahawa kekuatan dalaman dalam menerima takdir serta kegigihan berakhir dengan kemanisan.
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang