Haniff Hamzah syukur tak alami apnea tidur serius. ‘Aku kena amalkan kebersihan tidur’
RAMAI yang menganggap dengkuran sekadar bunyi ketika tidur dan tidak mendatangkan bahaya.
Begitu juga yang difikirkan oleh penyampai radio terkenal, Haniff Hamzah. Masalah itu tidak pernah dianggap serius sehinggalah beliau membincangkannya secara terbuka ketika bersiaran langsung di radio.
Topik yang dibincangkan itu menarik perhatian seorang doktor yang memberi teguran tentang bunyi dengkuran Haniff yang kedengaran seperti ada isu kesihatan.
Tersentak dengan nasihat itu, penyampai radio yang kini berusia 40 tahun itu mengambil langkah untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Doktor minta aku buat pemeriksaan tidur selama lapan jam di hospital.
“Dia wayarkan aku untuk periksa pergerakan otak, jantung dan semualah yang berkaitan,” kata beliau dalam satu perkongsian di TikTok miliknya.
Pun begitu, bapa kepada dua cahaya mata tersebut meluahkan rasa syukur dan lega apabila keputusan daripada pemeriksaan itu mengesahkan dia tidak mengalami masalah apnea tidur mengenai isu dengkur yang dihadapinya.
Haniff memaklumkan, dengkuran yang dihadapi berpunca daripada dirinya yang tidak mendapatkan tidur yang cukup.
“Bila keputusan dah keluar, aku berdebar. Adakah aku alami apnea tidur sampai nak kena tidur pakai mesin CPAP (Continuous Positive Airway Pressure)?

“Alhamdulillah, tak perlu sebab aku okay. Aku hanya alami apnea tidur yang minimum dan tak perlu sampai buat pembedahan.
“Doktor kata aku berdengkur macam itu sebab kurang tidur dan waktu ujian selama lapan jam itu pun aku tetap berdengkur,” jelas beliau.
Bagi mengatasi masalah dengkur, doktor menasihatinya untuk mendapatkan tidur yang cukup di samping mengamalkan gaya hidup sihat.
“Doktor kata aku kena amalkan kebersihan tidur (sleep hygiene) yang mana aku pun baru tahu fasal terma ini.
“Maksudnya, bila aku tengah berjaga ini, aku kena amalkan gaya hidup sihat supaya dapat tidur yang cukup di malam hari,” kata beliau lagi.

Memetik artikel Hello Doktor, apnea tidur ialah keadaan yang berlaku apabila seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur.
Biasanya, kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita berusia lebih 30 tahun.
Kesannya, organ mereka yang mengalami apnea tidur, terutamanya otak, mungkin tidak mendapat oksigen yang mencukupi serta tidur menjadi kurang berkualiti, yang juga menyebabkan pesakit penat ketika siang.
Anda perlu menghubungi doktor sekiranya menghadapi mana-mana satu dari yang di bawah:
-Dengkur kuat yang boleh menggangu tidur orang lain atau diri anda
-Nafas pendek, tercungap-cungap atau tercekik yang membangunkan anda dari tidur
-Pernafasan berjeda (berhenti-henti) ketika tidur
-Rasa mengantuk melampau di siang hari
-Penat dan cepat rasa terganggu
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
