Ibu bapa bayi 8 bulan yang meninggal di tangan pengasuh kongsi berita gembira, dapat tajaan rawatan IVF dari Tunku Azizah
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/07/thumbs/900x900/2997509.jpg)
Ibu ayah mana yang tidak sedih apabila anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh akhirnya pergi buat selama-lamanya.
Lebih memilukan, ia berlaku di rumah pengasuh yang diberi tanggungjawab untuk menjaga anak itu sebaiknya namun yang sebaliknya pula terjadi.
Walaupun peristiwa tersebut telah berlalu enam bulan lepas, tetapi bapa mangsa, Mohd Fikry Amri dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini tidak dapat melupakan tragedi hitam berkenaan seumur hidup. Apatah lagi, pasangan tersebut menunggu 13 tahun sebelum dikurniakan zuriat tersebut.
Prihatin dengan situasi berkenaan, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) telah menaja pasangan suami isteri itu untuk melakukan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/07/2997507.jpg)
"Sebenarnya, saya terima panggilan daripada pegawai Tengku Ampuan Pahang pada bulan lalu berkenan memberikan tajaan IVF berikutan kematian anak kami (Muhammad Al Fateh) di rumah pengasuh pada tahun lepas.
"Saya agak terkejut kerana kes kematian anak saya ini mendapat perhatian Tengku Ampuan Pahang dan kami sangat bersyukur kerana diberi peluang dan menerima tawaran ini.
"Selama 13 tahun kami menunggu untuk mendapat zuriat dan sempat menjaga Al Fateh selama lapan bulan sahaja," kata Mohd Fikry Amri.
Walaupun kedua-duanya telah pun mencapai usia 40 tahun tetapi mereka menaruh harapan tinggi agar rawatan ini berjalan dengan lancar dan dikurniakan cahaya mata kedua bagi mengubati kerinduan di atas kehilangan sebelum ini.
"Saya berfikir positif. ALLAH telah memberi saya peluang mengandung, menyusu dan menjaga anak sendiri. Saya berdoa IVF ini berjaya dan kami harap akan sekali lagi diberi peluang untuk menjaga anak insya-ALLAH," ujar Sabrina yang ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Tajaan Rawatan IVF kepada 65 pasangan suami isteri yang disampaikan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/07/2997508.jpg)
Anak lelaki pasangan tersebut yang ketika itu berusia lapan bulan telah meninggal dunia di tangan pengasuhnya.
Kejadian berlaku di taska yang terletak di Melaka itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup.
Mengikut laporan, mangsa dihantar ke taska oleh datuk dan ibunya pada jam 7.05 pagi, namun pada 9.05 pagi, pihak taska menelefon si ibu memberitahu bahawa tubuh bayi berkenaan dalam keadaan biru dan hidung berdarah.
Mangsa didakwa dibedung, disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup dengan bantal oleh suspek.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang