Ibu luah rasa pilu, anak menyusul pergi selepas dua rakannya maut dalam kemalangan. 'Saya tak mampu tengok dia terseksa, halalkan susu...'

KEMALANGAN yang meragut nyawa dua remaja iaitu Muhammad Aidil Ramdan Mohd Hisham dan Muhammad Aswari Lotpi dalam kemalangan tragis di Jalan Persiaran Senawang 1 pada Khamis lalu betul-betul mengundang sebak orang ramai.
Lebih memilukan, rakan kepada mereka iaitu Aisar Azim Abdullah yang turut terlibat dalam insiden sama akhirnya menghembuskan nafas terakhir selepas lima hari bertarung nyawa di hospital.
Aisar Azim yang menerima rawatan rapi di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) sejak 6 Mac lalu disahkan meninggal dunia pada jam 7.23 malam pada Isnin.
Menurut ibu mangsa, Nurha’afza Salwa Hazizan, beliau mula menerima takdir pemergian anak lelakinya, lebih-lebih lagi selepas dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa keadaan arwah berada dalam situasi kritikal.
"Saya dapat kekuatan sebabnya malam tadi doktor dah beritahu denyutan jantung dia dah turun sampai 38.
"Saya dan anak-anak datang ke hospital untuk bacakan surah Yasin. Apa yang jadi, saya reda.
"Saya dah cakap dengan dia, saya tak mahu seksa dia lagi dan dah halalkan susu dan ampunkan dosa dia," katanya.
Arwah yang mesra disapa Alang, seorang anak yang pendiam tetapi cukup rapat dengan adik-adiknya.
Kali terakhir wanita itu bertemu dengan Allaharyaham adalah malam Rabu, selepas anak ketiga daripada 10 beradik itu pulang dari bertemu rakan-rakannya.
Lebih meruntun jiwa, ibu ini mengakui mereka jarang berjumpa sebelum ini kerana kesibukan kerja, di mana beliau sering keluar pada awal pagi dan pulang lewat malam.
"Dengan dia susah (jumpa), sebab saya kerja pagi dan balik malam. Dia hanya telefon saya saja kalau nak apa-apa dan banyak dengan adik-adik.
"Bila Allahyarham disahkan meninggal, saya tengok mukanya tenang saja dan bersih saja walaupun ada calar, macam dia tengah tidur," katanya.
Sebelum ini, SinarPlus ada melaporkan insiden yang menimpa dua beradik dalam kemalangan membabitkan rempuhan sebuah Honda Jazz yang didakwa melanggar lampu isyarakat merah.
Aisar Azim merupakan mangsa ketiga yang dilaporkan meninggal dunia berpunca daripada kecuaian remaja lelaki berusia 18 tahun memandu tanpa lesen memandu sah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang