Inspirasi! Aliff Syukri, isteri syukur selesai tunai zakat perniagaan RM1,000,000. 'Bukan niat riak, sebagai memberi semangat'

No Image Caption
A
A
A

KATA orang dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Biarpun diulit kemewahan, usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid menjalankan tanggungjawab sekali gus menjadi inspirasi warga maya selepas menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000.

Aliff atau Aliff Syukri Kamarzaman, 37, menerusi sosial Instagram menjelaskan jumlah yang dibayar itu adalah hasil keuntungan perniagaannya yang semakin maju.

No Image Caption

Malah, figura yang kerap dijoloki dengan panggilan Abang Terlajak Laris itu bersyukur kerana berjaya melunaskan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dengan melakukan rukun Islam keempat itu.

“Doakan supaya perniagaan semakin maju dan lebih banyak duit yang boleh saya berikan untuk zakat perniagaan saya. Amin amin ya rabbal alamin.

No Image Caption

“Terima kasih Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana memudahkan kerja saya dalam urusan memberi zakat perniagaan ini untuk diberikan kepada masjid-masjid,” ujarnya.

Artikel berkaitan:

Manakala Datin Seri Nur Shahida pula menegaskan perkongsian itu tidak berniat untuk membanggakan diri, sebaliknya mahu menjadikan perkongsian itu sebagai pemangkin atau semangat kepada mana-mana individu yang berpendapatan tinggi untuk memberi zakat kepada golongan memerlukan.

“Ingat, keberkatan setiap sen yang mengalir itu sangat mustahak.

“Justeru, marilah menyumbang kepada Lembaga Zakat di atas setiap hasil keuntungan yang kita jana. Semoga apa yang kita sumbangkan ini mampu membantu sedikit sebanyak kepada insan yang memerlukan,”katanya.

"Alhamdulillah, ini kewajipan yang perlu dilaksanakan. Kami bersyukur atas nikmat dan rezeki yang tidak pernah putus daripada ALLAH SWT.

No Image Caption

"Ini juga berkat sokongan tanpa henti daripada semua pihak dan pelanggan setia kami. Semoga 2024 dan tahun seterusnya akan menjadi tahun yang lebih baik lagi buat kita semua," katanya.

Selain Aliff dan isteri, terdapat juga kelibat pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal turut hadir menyerahkan zakat perniagaan mereka sebanyak RM1 juta kepada LZS.

Teruja melihat angka besar pada cek yang diserahkan, warga maya menzahirkan rasa bangga pelaksanaan tanggungjawab oleh ahli perniagaan dan menjadikan ia sebagai inspirasi.

"Antara sebab Datuk dan Datin sentiasa dicucuri rezeki. Terbaik."

"Tabarakallah.Tahniah Datuk dan Datin inspirasi kami. Semoga ALLAH rezekikan kami semua merasa dapat keluarkan zakat 1 juta juga."

"Tahniah. Setiap tahun menjadi antara penyumbang zakat terbesar di Selangor. Semoga kewajipan ini berterusan dan kebaikan kalian menjadi asbab dipermudahkan urusan di akhirat kelak."

No Image Caption

"Contoh yang patut dibanggakan. Orang Islam kena kaya supaya dapat berzakat dan bantu orang susah. Tahniah Datuk dan Datin, semoga ALLAH kurniakan lebih daripada apa yang dizakatkan. "

HIKMAH MENUNAIKAN ZAKAT PERNIAGAAN

1-Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.

2-Zakat perniagaan merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas mereka yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

3-Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati ALLAH, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” [Surah Al-Nur (24): 37]

4-Anas RA meriwayatkan bahawa Abu Bakar RA menetapkan baginya apa yang difardukan oleh Rasulullah SAW: Dan jika sesuatu harta berkongsi bercampur oleh dua orang, maka keduanya saling mengeluarkan zakat dengan adil (sesuai dengan kadar atau bahagian masing-masing). [HR Bukhari]

5-Syarat wajib zakat perniagaan

-Muslim. Jika perniagaan mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang Islam sahaja yang dikenakan zakat.

-Sempurna milik. Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak milik aset) dan keupayaan mengurus (tasarruf) iaitu mempunyai kuasa penuh ke atas harta.

-Cukup nisab. Paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Nisab adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.

-Cukup haul. Genap setahun perniagaan. Penilaian harta perniagaan adalah dengan mengambil kira keadaan perniagaan pada akhir haul.

-Niat berniaga. Berniat untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan. Ia juga perlu dibuktikan dengan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.

-Barang perniagaan dan perkhidmatan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua bentuk perniagaan yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir atau perniagaan perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat.

Sumber: Instagram, Pusat Pungutan Zakat MAIWP

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang