Isteri pertama teruja madu bersalin tarikh sama dengan birthday suami, ketabahan jadi perhatian warganet. 'Masya-ALLAH bidadari syurga terlihat di dunia'
POLIGAMI isu yang sensitif dan tidak ramai wanita boleh menerimanya. Namun video memaparkan isteri pertama berkongsi momen bahagia meraikan madunya yang baharu bersalin telah mencuri tumpuan ramai.
Tular hingga mencecah 1 juta tontonan, menerusi video yang dimuat naik, wanita yang dikenali sebagai Hajar meluahkan rasa syukur dan teruja kerana bayi yang baru dilahirkan oleh madunya, Syuhada Sharidin telah berkongsi tarikh lahir yang sama dengan suami mereka, Ustaz Dr Halim Ikhsan.
"Alhamdulillah, Puan Syuhada selamat melahirkan pada tarikh yang dia mahukan 16 Disember 2024.
"Dapat tarikh sama dengan ayah dia," kongsinya.
Sementara itu, dalam menerusi hantaran yang lain, Hajar dilihat membuat kejutan kepada suaminya sempena ulang tahun kelahiran.
Tidak ketinggalan, wanita itu juga turut membawakan bunga buat madu sebagai penghargaan atas pengorbanannya melahirkan cahaya mata yang menambah seri keluarga mereka.
"Surprise! Semoga ALLAH merahmati suami dan maduku, Syuhada.
"ALLAH telah menentukan untuk kita bersama. Semoga jalinan ini terus berkekalan hingga bertemu dengan-NYA," kongsi Hajar yang memiliki lima cahaya mata.
Dalam hantaran yang sama, Hajar meluahkan rasa syukur atas kehadiran insan-insan istimewa dalam hidupnya meskipun pada awalnya dia mengakui pernah cemburu.
"Ramai yang tanya kami tidak cemburukah? Dahulu memang cemburu. Tetapi apabila sudah sayang kepada madu, kuasa 'sayang' itu mampu melenyapkan cemburu.
Artikel berkaitan:
'Ini baru adil.' Suami bawa dua isteri tunai haji bersama jadi perhatian warganet
Jangan nak berbangga sangat kalau berpoligami jika diri tak berlaku adil kepada isteri-isteri!
Minta izin sendiri isteri pertama, Zarina Zainuddin dedah adab kahwin suami orang
"ALLAH uji kami kesusahan paling susah, Alhamdulillah masih lagi bersama.
"Kerana penentu bahagia bukan duit tetapi iman (keyakinan) dan takwa kepada ALLAH," kongsinya.
Tidak hanya itu, beliau juga turut menyediakan sajian berpantang buat madu dan teruja menyambut kepulangan anak tirinya ke rumah.
Sementara itu, madunya Syuhada Sharidin pula menzahirkan rasa syukur selama melahirkan cahaya mata keduanya.
"Terima kasih sayangku @Ustaz_halim PPIM kerana kerana setia disisi dari awal hingga akhir dan tak berganjak walau sesaat. Terima kasih sayang atas sokongan dan kekuatan itu.
"Terima kasih @puan hajar kerana menjadi kakak madu yang sangat penyayang dan support segalanya untuk mudahkan lagi urusan kelahiran puteri kami.
"Semoga dengan bertambahnya cahaya mata ini maka bertambah seri, cinta dan kasih sayang dalam rumahtangga kami," kongsinya.
Warga maya kagum dengan keakraban dan hubungan baik kedua-dua wanita itu. Tidak ketinggalan ramai yang mendoakan agar mereka kekal bahagia.
"Keluarga yang hebat, moga berbahagia selamanya seiring rahmat dan reda ALLAH."
"Puan memang hebat kerana saya pun isteri pertama tetapi tidak mampu membuka hati seluas ini. Hanya mampu izinkan suami poligami sahaja."
"Pasti suaminya baik menyantuni isteri-isterinya sampai mereka boleh berbaik-baik. Tahniah. Semoga berbahagia selamany. Aamiin"
HUKUM POLIGAMI
Menurut Pejabat Mufti Wilayah, dari sudut fiqh,poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja.
Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
SUNAT
-Sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan syarak seperti meramaikan anak.
MAKRUH
-Jika suami semata-mata mahu berseronok dan berhibur atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya dan terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Menurut Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
HARAM
-Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil, hilangnya kepercayaan terhadap diri untuk tidak pilih kasih atau keadaan yang fakir. Dalam situasi ini, poligami itu haram kerana ia akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain.
Sumber: puanhajar, syadaasharidin, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang