Jangan panik! Ini yang Ustaz Don pesan ibu bapa buat ketika anak dalam dewan peperiksaan

No Image Caption
A
A
A

No Image Caption

SETIAP kali menjelang peperiksaan, bukan hanya anak-anak, bahkan ibu bapa juga turut berasa gementar kan.

Justeru, untuk mengurangkan rasa tersebut di samping menyalurkan aura positif dan kekuatan buat anak-anak, ini beberapa perkara Ustaz Don Daniyal kongsikan yang mak ayah boleh buat ketika anak-anak sedang menduduki peperiksaan.

Berpuasa sunat

Antara doa yang paling mustajab dan dimakbulkan oleh ALLAH ialah doa mak ayah. Doa orang yang berpuasa juga amat mudah dimakbulkan oleh ALLAH. Jadi tibanya hari anak menduduki peperiksaan, mak ayah berpuasalah sambil doakan anak-anak agar dapat jawab semua soalan. Doa sentiasa!

Solat taubat dan hajat

Lakukan solat sunat taubat dan solat hajat memohon agar anak tenang serta dapat jawab semua soalan peperiksaan dengan cemerlang. Seminggu sebelum periksa lagi mak ayah dah boleh mula lakukan. Jika boleh ajarlah anak sekali turut serta.

Baca al-Quran

Ketika anak berada di dewan peperiksaan, pagi itu mak ayah bacalah Quran sepanjang masa dan niatkan pahala bacaan kepada anak yang sedang menjawab soalan. Mohon dia sentiasa terang hati dan tenang ketika menjawab. Berdoalah mohon pada ALLAH agar anak dapat menjawab dengan lancar.

Lakukan solat dhuha

Mak ayah juga boleh lakukan solat dhuha sambil berdoa sentiasa untuk anak yang bergelut menjawab soalan. Kalau bekerja pun, mak ayah boleh ambil masa sekejap dan lakukanlah di pejabat. Doakan untuk kejayaan anak-anak.

Bersedekah

Bersedekah mampu meluaskan rezeki. Begitu juga dengan rezeki anak-anak pagi itu, ketika menjawab soalan. Bersedekah ke masjid atau pada sesiapa sahaja dan niatkan pahala buat anak kita. Insya-ALLAH, moga DIA bukakan rezeki anak kita untuk mudah menjawab ketika itu.

Berterusan zikir dan doa

Tak kira di mana pun mak dan ayah berada waktu itu, sentiasalah berzikir di mulut dan tidak putus-putus doa pada anak-anak yang menjawab soalan. Walaupun ketika bekerja atau menungguh anak di luar sekolah, teruskan berzikir sebanyak-banyaknya. Mak ayah boleh membaca Al Fatihah 7 kali, Selawat Nabi 7 kali, Subhanaallah 44 kali, alhamdulillah 44 kali, Allahuakhbar 44 kali, Ya Hayyu Ya Qayyum 21 kali dan teruskan disambung dengan doa untuk anak.

No Image Caption

Hantar gelombang positif

Sentiasa membayangkan muka anak dan sentiasa berfikir positif dan yakin anak kita dapat menjawab dengan lancar dan tenang. Kuatkan hati dan sentiasa positif. Insyaallah anak kita juga positif dan mampu menjawab dengan baik.

Tawakal pada ALLAH

Setelah segala usaha kita dan anak kita buat sepanjang tahun sebagai usaha untuk menghadapi peperiksaan ini, inilah masanya kita bertawakal dan menyerahkan segalanya kepada ALLAH, kerana Dialah yang maha mengetahui. Apa yang penting kita telah pun berusaha dengan belajar dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa berdoa padaNya. Selebihnya biar ALLAH yang menentukannya.

Sumber: Majalah Keluarga

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang