Jep anggap anak autisme hadiah paling bermakna. 'Setelah lima tahun, pertama kali dia sebut abah'

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini, penyampai radio, Jep Sepahtu berkongsi perkhabaran dua anak lelakinya, Khidir dan Abu Bakr disahkan autisme.

Bahkan, beliau mengganggap itu sebagai 'hadiah' paling bermakna dalam hidupnya.

Terbaharu, beliau memuat naik satu hantaran di Instagram Sinar_my, yang mana Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin mengakui air matanya turut tumpah ketika menerima berita tersebut.

“Saya rasa hadiah saya yang baru-baru ini, apabila dapat tahu anak saya disahkan autistik, itu adalah hadiah paling bermakna.

“Ketika saya dapat tahu, sebagai seorang bapa sudah tentu ada perasaan. Air mata yang tidak dapat disekat keluar secara sendiri.

“Alhamdulillah saya bersyukur sebab tidak melihat kepada hadiah itu, saya melihat siapa yang memberi hadiah tersebut.

"Sebab hadiah itu datang daripada kekasih (ALLAH), takkan saya tidak gembira. Itulah saya rasa macam hadiah yang akan saya ingat,” katanya.

No Image Caption



Tambah Jep, beliau kini dalam proses membuat persiapan dan perancangan untuk masa depan anak-anaknya.

Beliau turut berkongsi bahawa hasil daripada sesi terapi yang dihadiri anak-anaknya, mereka akhirnya mampu bertutur buat pertama kali selepas lima tahun.

“Sekarang ini saya tengah sibuk membuat persediaan dan perancangan bagaimana untuk menguruskan mereka.

“Tapi sebelum ini memang saya dah hantar mereka ke terapi.

“Sebagai ibu bapa, kita kena berikan yang terbaik. Saya pun nampak proses itu, perjalanan itu nampak... Hari itu saya cakap, setelah lima tahun, pertama kali dia sebut ‘abah’.

“Sebagai bapa mereka, rasa sebak juga,” jelas Jep.

No Image Caption



Terdahulu, Jep memuat naik gambar anak-anaknya dan berkongsi perasaan pilu dengan tanda pagar #anaksyurga dan #autisme sempena hari lahirnya pada 9 April lalu.

Untuk info, Jep dan Sari Yanti melangsungkan perkahwinan pada 25 Februari 2017.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Dariya Inara, 7, Muhammad Khidir, 5, dan Abu Bakr, 4.

Sari Yanti turut mempunyai dua anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu Barr Al-Aliy, 15, dan Baasit Al-Haq, 14.



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang