JPJ wajibkan pakai tali pinggang keledar bas mulai 1 Julai, saman RM300 menanti

No Image Caption
A
A
A

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan bas persiaran bermula 1 Julai ini.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan undang-undang baharu itu melibatkan bas yang dibina mulai 1 Januari 2020 kerana telah diwartakan untuk pemasangan tali pinggang keledar.

Manakala untuk bas yang dibina sebelum 2020 akan diberikan tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali pinggang keledar.

Jika gagal mematuhi arahan berkenaan, pemandu, penumpang dan pengendali syarikat akan dikenakan notis saman sebanyak RM300.

Pemakaian tali pinggang keledar ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Undang-undang baharu ini perlu dilaksanakan segera demi memastikan tiada lagi nyawa melayang seperti mana kemalangan tragis yang yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI awal bulan Jun lalu.

Semakin hari semakin banyak kes kemalangan jalan raya yang menakutkan terutamanya melibatkan bas ekspres dan lori berat.

Bukan kes nahas di Gerik itu sahaja. Baru-baru ni, satu video tular menunjukkan sebuah bas ekspres dipandu secara melulu dan memotong di laluan kecemasan di Lebuhraya Utara Selatan, Kulai. Siap tunjuk isyarat lucah kepada perakam video.

Susulan insiden itu, dalam satu sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, beliau mengatakan, telah mengambil inisiatif menghantar WhatsApp kepada Ketua Pengarah JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) saat melihat video tersebut.

Tindakan tegas telah diambil apabila lesen pengendali kenderaan awam milik Star Mart Express Sdn Bhd telah digantung selama 30 hari bermula 3 Julai.

Anthony Loke juga berpesan agar orang awam segera mengambil gambar atau video jika ternampak lori atau bas memandu secara berbahaya.

JPJ dan APAD kini memberi perhatian penuh kepada setiap aduan dan laporan termasuk video-video tular. Tak kiralah siapa yang post atau bila pun video itu muncul. Apa yang penting, keselamatan pengguna jalan raya kena jaga.

Semoga dengan penguatkuasaan undang-undang baharu dan juga saranan Menteri Pengangkutan ini dapat mengurangkan risiko kemalangan tragis di masa akan datang.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang