Kayuh basikal masuk lebuh raya boleh kena denda RM5,000! Ini undang-undang yang ramai tak tahu
SEKARANG ini trend kayuh basikal makin menjadi gaya hidup untuk bersukan. Niat sudah betul tujuan menjaga kesihatan, cuma cara yang salah.
Tahukah anda bahawa basikal sama sekali dilarang untuk memasuki lebuh raya. Undang-undang ini dibuat atas dasar menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
Memetik Sinar Harian, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penunggang basikal perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Ia merupakan antara larangan yang jelas termaktub dalam Kaedah Isyarat Lalu Lintas LN167/59, khususnya Peraturan 17 yang menyatakan basikal, basikal roda tiga, beca serta kenderaan yang ditarik haiwan dilarang memasuki lebuh raya.
“Individu yang bersalah boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
“Secara umum, terdapat dua tujuan orang ramai berbasikal di negara ini iaitu sebagai aktiviti rekreasi dan juga sebagai pengangkutan,” katanya.
Tambahnya lagi, untuk tujuan rekreasi, anda boleh berbasikal di taman atau laluan khas yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, anda juga boleh menyertai mana-mana program kayuhan berbasikal yang dianjurkan secara rasmi.
Lebuh raya dicipta khas untuk kenderaan bermotor berkelajuan tinggi. Motosikal juga dilarang menggunakan lebuh raya. Penunggang perlu menggunakan laluan motor yang telah disediakan.
Inikan pula basikal yang memiliki had kelajuan. Bayangkan kalau lori trelar yang berada di laluan kiri dengan kelajuan maksimum, bukankah itu membahayakan nyawa.
Walaupun anda menggunakan alasan melalui lorong kecemasan tetap juga tidak dibenarkan kerana laluan itu khas untuk ambulans atau perkara kecemasan sahaja.
Kepada anda yang suka hobi berbasikal, tolong patuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Perkara ini dapat mengelakkan sebarang kecelakaan yang tidak diingini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
