Kenalan keluarga Nurly Sahirah dedah tetamu ketuk pintu seawal Subuh hingga lewat malam, tetapkan waktu ziarah jam 9 pagi hingga 6 petang

PEMERGIAN penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan baru-baru ini, Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman, 23, terus menjadi fenomena hingga orang ramai terus menziarahi kediaman arwah di Kampung Gong Pasir Kerandang, Besut, Terengganu dan pusaranya
Hampir tiga minggu berlalu, khabar duka diterima pihak keluarga kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan melakukan perkara khurafat dan syirik melibatkan tanah kubur hafizah al-Quran itu.
Bapa Nurly, Azman Mohamad, 63, berharap agar individu yang mengambil tanah pusara anaknya tampil memohon maaf serta memohon keampunan kepada ALLAH SWT.
“Janganlah minta pada kubur. Kita hanya datang ke kubur untuk bersedekah dengan surah al-Fatihah. Kubur tidak boleh beri apa-apa kesan.

“Kepada orang yang ambil tanah kubur itu, saya harap tampil ke depan, mohon maaflah kepada kami. Kalau tidak kepada kami sekalipun, mohon ampunlah kepada ALLAH SWT,” katanya.
Pesara kerajaan itu juga menyuarakan kekesalan susulan tingkah laku individu tertentu yang dipercayai mengambil tanah kubur anaknya untuk tujuan tidak sewajarnya di samping menasihatkan pengunjung agar menjaga adab serta tatasusila ketika menziarahi pusara.
“Saya tidak halang orang ke kubur. Cuma bila ambil tanah kubur itu walau sekepal atau segenggam untuk buat azimat atau benda yang bertentangan dengan ajaran Islam, saya rasa perbuatan itu salah dari segi undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.
Turut dimaklumkan, pihak berkuasa agama telah melakukan pemantauan pada waktu malam dan berharap agar tiada keperluan untuk tindakan lebih ketat seperti menutup atau mengunci kawasan berkenaan.
Azman menegaskan mereka sekeluarga tidak menghalang mereka yang ingin menziarahi pusara Nurly, namun menegaskan bahawa sebarang niat jahat atau perbuatan bertentangan dengan syariat Islam perlu dihentikan.

“Dalam keadaan begini, ada pula orang ambil kesempatan. Saya amat kesal, kerana masih ada manusia yang tidak faham agama. Sedangkan tanah itu tidak membawa sebarang manfaat.
“Individu yang ambil itu jelas tidak faham agama. Ambil tanah kubur bawa balik, tidak ada faedah, tidak beri apa-apa manfaat, satu sen pun tidak,” tegasnya.
Dua abang Nurly dan seorang waris Allahyarham bergotong-royong memasang tali penghadang tersebut kira-kira jam 6.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang pada Sabtu bagi mengelakkan sebarang perbuatan khurafat.
Azman dalam masa sama turut memohon maaf bagi pihak keluarga sekiranya tidak dapat memberikan layanan sempurna kepada tetamu.
TETAMU TIDAK DAPAT DIKAWAL BERMULA 23 JUN
Dalam hantaran di Facebook, kenalan keluarga itu, Ahmad Nazrul Muhammad yang juga amendedahkan pihak famili Nurly menetapkan waktu ziarah ialah dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
"Waktu ziarah di rumah keluarga Allahyarham Nurly ditetapkan pada pukul 9 pagi hingga 6 petang sahaja.Waktu malam mereka tidak menerima tetamu.
"Ada tetamu mengetuk pintu seawal subuh dan sehingga 10 malam. Harap faham adab ziarah," titip Ahmad Nazrul.
Beliau yang juga ktivtis masyarakat Pertubuhan Amal Komuniti Besut mendedahkan pihak keluarga Allahyarham tidak dapat mengawal tetamu yang berkunjung sejak seminggu yang lalu.

"Dalam masa yang 10 Jun hingga 22 Jun, tetamu datang dengan teratur. Malam tiada yang datang. Namun bermula 23 Jun lalu, kedatangan tetamu mula tidak terkawal.
"Keluarga diganggu bermula awal pagi hingga lewat malam. Halaman rumah dipenuhi dengan ribuan orang pada satu-satu masa.
"Bermula tarikh itu juga banyak perbuatan khurafat berlaku di kubur Allahyarham Nurly. Keluarga juga ditanya dengan pelbagai soalan yang tidak masuk akal.
"Malah ahli keluarga juga diberi pelbagai tekanan oleh segelintir tetamu. Kepada tetamu yang baik, yang menghormati adab ziarah, diucapkan terima kasih.
"Yang ada perancangan untuk ziarah, pastikan tahu adab-adab ziarah mengikut saranan agama Islam. Sama-sama kita menghormati tuan rumah dan menjaga adab-adab ketika menziarahi mereka," kongsinya di Facebook.
Sumber: Sinar Harian, Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang