Pemergian dicemburui ketika solat Zohor 1 Ramadan, Pak Yop rajin selenggara elektrik masjid. 'Insya-ALLAH husnul khatimah'

No Image Caption
A
A
A

PENGAKHIRAN yang baik terutamanya meninggal dunia pada bulan Ramadan impian ramai. Seorang warga emas menghembuskan nafas terakhir ketika menunaikan solat pada 1 Ramadan menjentik hati warganet.

Ahli jawatankuasa Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, Alias Abd Ghani, 69, dilihat rebah ketika rukuk sebelum terduduk dalam keadaan sujud pada rakaat ketiga solat Zohor di sebuah surau di Taman Seri Gombak. 

Menerusi rakaman kamera litar tertutup, kelihatan seorang jemaah yang membatalkan solatnya kemudian cuba membantu Allahyarham ketika dia rebah.

Laman sosial Masjid Al-Khairiyah menyifatkan pemergian Allahyarham Alias sebagai kehilangan besar buat komuniti.

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda lagi diredai-NYA. Pulangnya Alias bin Abd Ghani menemui Maha Pencipta tepat pada hari pertama Ramadan.

No Image Caption

"Allahyarham merupakan ahli jawatan kuasa yang angat baik, rajin membantu menyelenggara elektrik, tukar lampu dan lain-lain. Alhamdulillah, ALLAH SWT sangat menyayangi Pak Yop. 

"ALLAH pilih Pak Yop berjumpa dengan-NYA dalam keadaan sedang berpuasa, sedang solat, dalam keadaan berwuduk, pada bulan mulia Ramadan. Insya-ALLAH husnul khatimah. Semoga ALLAH mengampuni segala dosa-dosa Pak Yop, diberkati dan diredai-NYA," titipnya di TikTok.

Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Permata, Seri Gombak pada Jumaat usai disolatkan di Masjid Al-Khairiyah.

Artikel Berkaitan:

Memetik Pejabat Mufti Wilayah, jika seseorang itu ditakdirkan meninggal dunia pada bulan Ramadan atau pada waktu-waktu mulia yang lain seperti hari Jumaat; atau pada tempat-tempat mulia yang lain seperti di Tanah Haram, maka ia boleh dikategorikan sebagai salah satu tanda husnul khatimah (pengakhiran hidup yang baik).

Selain itu, tugas kita sebagai seorang hamba adalah dengan sentiasa memperbanyakkan amalan soleh serta sentiasa istiqamah mempersiapkan diri untuk bertemu ALLAH SWT pada bila-bila masa.

Sifat rahmat dan keampunan-NYA amat luas dan ia tidak terhad pada tempat atau waktu-waktu tertentu.

Sumber: Facebook

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang