Kesan trauma ketika remaja, isteri masih lagi ‘dara’ walaupun sudah dua tahun mendirikan rumah tangga
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/14/thumbs/900x900/3007009.jpg)
SUDAH dua tahun mendirikan rumah tangga tetapi isteri masih lagi dara.
Ini bukanlah cerita dongeng mahu pun rekaan tetapi benar-benar berlaku di negara kita.
Jangan ingat perkara ini pelik kerana sebenarnya ramai di antara kita yang mungkin menghadapi situasi yang sama.
Itulah kisah realiti yang dikongsi sendiri oleh Dr Ahmad Samhan Awang yang merupakan Doktor Kesihatan Lelaki di HIM Wellness Sdn Bhd.
Pesakit yang hadir berjumpa dengannya kali ini merupakan pasangan yang menceritakan tentang kerisauan hubungan intim mereka.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/14/3007008.jpg)
Masalah mula timbul di pihak isteri apabila mula menjerit setiap kali mahu bersama dengan suami.
Belia mengakui perkara itu berlaku kerana dirinya pernah menjalani pembedahan besar ketika berusia 16 tahun di mana ianya membawa kepada trauma sehingga kini.
Bukan itu sahaja, wanita tersebut turut mengalami sakit perut yang teruk sehingga mengganggu kitaran haidnya. Setelah membuat pemeriksaan perubatan, wanita berusia 38 tahun itu dikatakan mengalami vaginismus di mana farajnya ‘terkunci’ setiap kali mahu bersama dengan suami.
Untuk pengetahuan anda, vaginismus adalah tindak balas tanpa sedar yang berpunca daripada rasa bimbang yang berkaitan dengan mana-mana bentuk penembusan faraj. Apabila cubaan penembusan dilakukan, otot faraj terus mengecut dan tiada kawalan faraj dapat dilakukan.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Keadaan isteri yang berterusan tanpa rawatan ini membuatkan si suami yang berusia 40 tahun mengalami masalah mati pucuk kerana diserang rasa kebimbangan, tekanan serta kurang keyakinan diri.
“Setelah mendengar cerita mereka, saya menyedari bahawa masalah ini lebih kepada aspek psikologi. Saya menasihati isteri untuk merawat isu vaginismus terlebih dahulu kerana itu adalah langkah yang penting untuk pemulihan mereka berdua.
“Saya juga mencadangkan agar dia menjalani sesi kaunseling untuk membantu mengatasi trauma yang dialaminya. Untuk suami pula, saya syorkan sesi rawatan bersama dengan senaman khusus untuk mengatasi masalah ini” katanya melalui perkongsian di Facebook miliknya.
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian termasuk melibatkan kesihatan diri. Jika rasa diri sendiri bermasalah, sila jumpa mereka yang pakar untuk tahu jalan terbaik kea rah kesembuhan. Jangan biarkan diri dan pasangan merana. Semoga kisah ini memberi inspirasi dan harapan kepada mereka yang mungkin sedang berjuang dengan isu serupa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang