Kongsi kebaikan Zulfarhan, video sahabat baik kembali tular buat ramai sebak. 'I always remember your kindness'
ENAM suspek kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain telah pun dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Jenayah kejam paling jarang ditemui, demikian kata Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail ketika membacakan alasan penghakiman bertulis 93 muka surat dalam tempoh lebih tiga jam.
Kekejaman dan pembulian menggemparkan negara itu kembali tular di laman sosial.
Tidak kurang juga termasuk perkongsian rakan-rakan tentang kebaikan Zulfarhan yang muncul FYP di laman sosial TikTok.
Menerusi video yang dikongsikan pengguna TikTok Fariz Halik pada 2 November 2021 itu, lelaki yang dipercayai rakan baik Allahyarham ketika pra diploma di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu mendoakan sahabatnya.
"Al-Fatihah Paan.
"Semoga ALLAH masukkan kau dalam syurga firdaus. I always remember your kindness," titipnya.
Menerusi video berdurasi 44 saat itu, beliau juga mengenang persahabatan dan kebaikan dilakukan arwah.
Malah menurutnya, Zulfarhan rajin menziarahi rakan-rakan walaupun sudah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi lain.
"Masa ni Paan datang dari UPNM.
"Ya dia seorang yang suka melawat kawannya walaupun sudah berlainan tempat belajar," kongsinya.
Menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat yang prihatin dan baik hati, Fariz adalah saksi anak sulung Hawa Osman dan Zulkarnain Idrus itu tidak berkira menjaga kebajikan rakan-rakan.
"Dia memang kawan yang baik sumpah saya tak tipu!
"Waktu kami tidur di asrama, siapa sahaja kawan yang tiada bantal. Dia akan angkat kepala dan letak bantal serta selimutkan," titip Fariz.
Menjengah ke ruangan komen, Fariz turut berkongsi perasaan pilu apabila Zulfarhan sudah pergi selamanya.
"Saya tidak boleh bayang tiada seorang kawan pun tolong.
"Kalau saya ada di situ, saya sanggup dipukul untuk tolong dia daripada ditekap seterika," kongsinya.
Tersentuh dengan perkongsian, ada juga warga maya yang turut mengenali arwah meluahkan kebaikannya.
" Al-Fatihah buat adik Farhan. Gambar anak aunty pun ada bersama Farhan. Baju putih berkaca mata sebelah Paan yang berbaju Melayu hitam gambar pertama. Anak aunty pun cakap, Paan sahabat yang sangat baik."
"Jiran lama saya. Sejak tadika sampai Darjah Enam, boleh dikatakan setiap hari pergi ke rumah family arwah bermain dengan adiknya. Zulfarhan memang seorang yang baik."
"Syurga tempatmu Zulfarhan. Semoga tenang di sana. Mudahnya mereka menghukum tanpa usul periksa. 90 tekapan seterika panas dan pedih, bisanya terasa."
"Anak yang baik. Lihat sahaja air muka pun sudah tahu. Semoga ALLAH kurniakan kerahmatan ke atas rohnya, aamiin."
Untuk rekod, tubuh Allahyarham mengalami kesan lecur teruk, malah dikatakan ditekap lebih 90 kali menggunakan seterika termasuk pada alat sulit!
Keputusan bedah siasat mendapati kematian Zulfarhanadalah disebabkan kombinasi antara ‘hypervolemia’, masalah jantung dan buah pinggang manakala Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur merumuskan punca kematian disebabkan jangkitan kuman di dada dan luka lecur utama ‘sequela.’
Selain enam suspek yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, mahkamah turut menggantikan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun ke atas 12 lagi bekas penuntut UPNM kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Semoga kita mengambil iktibar daripada kes ini. Katakan tidak kepada buli! Salam takziah buat keluarga Allahyarham, Al-Fatihah.
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang