Larian bertema retro, pesta durian & artis popular – Restoran ini cipta kelainan di Selangor
RESTORAN Salai Power mencipta kelainan tersendiri apabila menjadi restoran pertama di Selangor yang menganjurkan acara larian bertemakan klasik, dikenali sebagai Salai Power Klasik FunRun 2025.
Bukan sekadar fokus pada keenakan masakan salai, pemiliknya, En. Shahabudin Mahmud @ Ahmad dan isteri, Siti Asiah Othman, mengambil inisiatif untuk menghidupkan suasana komuniti dengan menganjurkan program riadah yang santai dan penuh warna.

Walaupun ini merupakan penganjuran kali pertama, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Seramai 250 peserta telah mengambil bahagian dalam dua kategori larian iaitu sejauh 5 kilometer dan 7 kilometer.
Apa yang menarik, peserta datang dengan semangat ‘gaya lama’, lengkap dengan pakaian bertemakan klasik seperti batik, jeans potongan kembang dan kasut sukan old school yang menambah elemen nostalgia dalam acara ini.
Majlis turut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, YB Wan Dzahanurin bin Hj Ahmad.

Kehadiran dua artis legenda tanah air, Rahmad MEGA dan Achik EKAMATRA, juga menjadi tarikan utama pada hari tersebut.
Persembahan mereka bukan sahaja menghiburkan, malah mengembalikan kenangan manis buat ramai yang hadir.
Lebih istimewa, acara diteruskan dengan pesta makan durian sejurus tamat larian.
Peserta dan pengunjung yang hadir menikmati jamuan durian di Restoran Salai Power, menjadikan hari itu bukan sahaja aktif dengan larian, tetapi juga puas dengan juadah tempatan yang sinonim dengan musim buah.
Pihak penganjur dalam satu kenyataan meluahkan rasa syukur atas sambutan yang diberikan.
"Kami memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang program berlangsung.

"Maklum sahaja, ini pengalaman pertama mereka menganjurkan program berskala komuniti sebegini dan banyak perkara baharu yang dipelajari sepanjang proses tersebut," jelasnya.
Apa pun, usaha ini wajar dipuji kerana ia bukan sekadar memperkenalkan jenama Restoran Salai Power kepada umum, tetapi turut menjadi satu platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat setempat.
Dengan harapan untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan, ramai yang pastinya menantikan edisi akan datang dengan aktiviti yang lebih meriah dan tersusun.

Secara tidak langsung, Salai Power telah membuktikan bahawa sebuah restoran juga mampu memainkan peranan besar dalam membina semangat komuniti, bukan hanya menyajikan makanan yang enak, tetapi juga pengalaman yang bermakna.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

