Lelaki 29 tahun kahwini wanita umur 61 – 'Orang ingat emak atau mak cik, tapi dia isteri saya'

No Image Caption
A
A
A

BEZA umur antara mereka bukan sedikit, tetapi bila cinta datang, ia tidak peduli siapa, bila dan bagaimana.

Itulah kisah pasangan Mohamad Nazir Annuar, 29, dan isterinya Salmah Jaya, 61, yang menjadi bualan ramai kerana perbezaan usia mereka sejauh 32 tahun.

Namun bagi mereka, cinta itu hadir bukan atas dasar usia atau rupa, sebaliknya pada rasa dan keikhlasan yang terpupuk dari hati ke hati.

Memetik Harian Metro, Nazir mula mengenali Salmah pada tahun 2018, ketika dia tertarik dengan kelembutan dan perwatakan matang wanita itu.

Bukan mudah untuk mendekati Salmah, apatah lagi memandangkan perbezaan usia mereka yang begitu ketara. Namun, Nazir nekad.

Lelski itu kemudiannya meminta tolong kenalannya untuk dapatkan nombor telefon Salmah.

No Image Caption

“Saya cuba mesej dia selepas dapat nombor, tapi tak dibalas. Saya faham… mungkin dia tidak bersedia atau tidak yakin,” katanya.

Namun, masa membuktikan kesungguhan Nazir bukan gurauan.

Satu demi satu usaha dilakukan demi menawan hati wanita beranak lima itu.

Selepas beberapa tahun mengenali, akhirnya cinta mereka sampai ke jenjang pelamin pada April 2022.

Majlis perkahwinan mereka dibuat secara sederhana namun penuh bermakna.

JODOH LELAKI MUDA

Sebaik berkahwin, mereka tidak terlepas daripada pandangan sinis dan sangkaan masyarakat. Nazir sendiri mengakui, mereka sering menjadi perhatian apabila keluar bersama.

“Bila kami keluar berdua, ramai ingat isteri emak atau mak cik saya. Itu perkara biasa kami lalui sejak berkahwin,” katanya dengan tenang.

Namun, bagi kru katering di pelantar minyak itu, tiada apa yang perlu dimalukan.

“Saya tak pernah malu mengakui dia isteri kerana saya sangat sayangkannya,” ujar Nazir jujur.

Sementara itu, Salmah juga tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan lelaki muda.

Katanya, pada awalnya, dia agak keberatan untuk meneruskan perhubungan kerana bimbang dipersenda atau dianggap pelik oleh masyarakat.

“Mulanya saya tolak sebab fikir banyak perkara, termasuk anak-anak dan masyarakat. Tapi dia tetap usaha dan serius. Lama-kelamaan, saya buka hati,” kata Salmah.

Keluarga mereka juga tidak terus menerima hubungan itu. Ada sedikit rasa terkejut dan tidak yakin, terutamanya daripada anak-anak Salmah.

Namun segalanya berubah apabila mereka melihat kesungguhan Nazir yang sanggup meredah banjir dengan motosikal demi bertemu Salmah ketika banjir melanda rumah wanita itu.

Kata Salmah, “Bila mereka tengok kesungguhan dia, mereka mula terima dan nampak keikhlasan Nazir.”

Hari ini, pasangan ini menjalani kehidupan rumah tangga seperti pasangan lain. Mereka saling menghormati, memahami dan menyokong antara satu sama lain.

Mereka juga tidak kekok berkongsi video atau kisah hidup mereka di media sosial.

"Saya tahu ramai tak faham hubungan kami. Tapi kami bahagia. Itu yang penting. Tak ganggu hidup orang lain pun,” kata Nazir.

No Image Caption

KASIH SAYANG TANPA SYARAT

Malah, Salmah turut mengakui perkahwinan ini mengajarnya banyak perkara tentang kepercayaan, penerimaan dan kasih sayang yang tidak bersyarat.

“Kalau kita jujur, tak kira usia atau apa pun kekurangan, pasangan kita akan terima,” ujarnya.

Bagi Nazir pula, cinta bukan soal umur. Baginya, Salmah bukan sekadar isteri, tapi juga sahabat, pendengar dan tempat dia bersandar.

“Dia tak pernah bebankan saya, tak pernah kongkong. Malah, dia lebih faham saya daripada orang lain,” kata Nazir sambil tersenyum.

Mereka juga pernah diuji dengan dugaan apabila Salmah mengalami keguguran, namun tetap kuat dan saling menyokong untuk terus tabah.

Di sebalik perbezaan usia, persepsi masyarakat dan cabaran rumah tangga, pasangan ini membuktikan bahawa cinta yang ikhlas mampu bertahan selagi ada kepercayaan dan saling menghormati.

Sumber : TikTok Nazir Annuar

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang