Lelaki bertopeng pecah masuk rumah, ‘sopan’ samun nenek sedang makan
DALAM suasana yang sepatutnya tenang, seorang wanita warga emas terpaksa berdepan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Melayu, Simpang Renggam, Johor diceroboh lelaki bertopeng.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang dipercayai tinggal bersendirian sedang berehat dan makan.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 4.30 pagi Rabu itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam kediaman wanita tersebut.
Berdasarkan video yang tular di media sosial sejak petang Rabu itu, suspek berpakaian baju biru gelap masuk ke dalam rumah dan beberapa kali mengarahkan mangsa supaya duduk.

Suspek juga dilihat hanya menyelongkar tempat wanita itu berehat di sekitar ruang tamu dipercayai untuk mencari barangan berharga termasuk wang tunai.
Malah, rakaman berdurasi dua minit 50 saat itu turut memperlihatkan wanita berusia lingkungan 70-an itu cuba menjerit meminta tolong dengan nada lemah sebelum suspek menutup mulutnya.
Selain itu, suspek juga dilihat tidak membawa sebarang senjata atau peralatan tajam dan memujuk nenek itu supaya terus makan bagi mengelakkan mengganggunya.
Bagaimanapun, wajah suspek yang dianggarkan berusia sekitar 40-an tidak dapat dikenal pasti kerana memakai topeng serta membelakangi CCTV kerana dipercayai sedar akan rakaman tersebut.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati warganet mengecam tindakan suspek dan mengharapkan supaya pihak polis segera menangkap pelaku.
“Orang terdekat je ni…sebab dia cari dekat situ saja, tak pergi selongkar tempat lain. Bermakna, dia tahu dompet tu memang ada dekat nenek saja.
“Dia bukannya penyamun yang bersimpati. Saya rasa dia lebih kepada nak elakkan provokasi. Macam movie orang putih, samun bank tenang dan collective.
“Mungkin dia nak takde niat nak cederakan nenek tu, tapi paling tidak mesti ada standby pisau untuk menakutkan nenek kalau keadaan jadi semakin riuh.
“Walaupun cara dia baik tapi tetap salah, kalau dengar nenek tu mengucap terus tak jadi ambil duit tu baru betul baik. Kesian nenek. Semoga kita tua nanti tak jadi macam ini, tinggal seorang diri di rumah,” komen netizen di ruangan komen.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
