'Mak, tengok adik!' Tular video ibu terkulai lemah ketika bonceng motosikal runtun hati, rupanya anak panik gara-gara...

APA sahaja berkaitan ibu pasti buat ramai meleleh air mata. Ramadan lalu seorang wanita menerusi akaun TikTok Nanie Arif berkongsi video memaparkan ibunya yang lemah ketika membonceng motosikal menjadi tular hingga meraih 18.8 juta tontonan.
"Mak tengok adik, mak tengok adik!" jerit Nanie kepada ibunya yang semakin terkulai sambil memeluk dari belakang.
Dengan air mata yang berjuraian, Nanie atau Maizatunanie menjelaskan situasi berkenaan berlaku selepas mereka berdua pulang dari klinik di Tangkak, Johor selepas ibunya Morisiah Saat, 76, diserang lelah.
"Emak lelah, saya bawa ke klinik kemudian tekanan darah rendah. Kemudian dalam perjalanan pulang ke rumah emak pitam atas motosikal," kongsinya.
Menyedari dirinya dikecam, Maizatunanie menjelaskan dalam kejadian pada 28 Mac itu, beliau merakamkan video berkenaan untuk memantau ibu yang sedang membonceng motosikal yang ditunggangnya ketika itu.
"Masa ni, saya cuma mampu pantau mak menerusi phone. Sambil tunggu orang datang bantu. Takut sangat mak jatuh jadi saya peluk lengan dia erat-erat," kongsinya.

Artikel berkaitan:
- Ibu masuk wad, cuti hanya 2 hari, anak ini nekad naik motor 290km dari Kulim ke Pasir Mas runtun hati warganet
- Sanggup derma hati demi anak sakit kronik, kisah pengorbanan ibu ini buat ramai sebak
- 'Saya tak pandai, nak bagi anak pandai sikit.' Pengorbanan ayah, sanggup ulang-alik naik motor sejauh 20km ke tempat kerja bikin sebak!
Difahamkan sehari sebelum kejadian, ibunya memaklumkan sesak nafas. Sebaik tiba di sebuah klinik, warga emas tersebut diberi oksigen sebelum mereka pulang ke rumah dengan menaiki motosikal.
"Saya datang ke rumah emak di Kampung Parit Tunggul, Kundang Ulu, Tangkak untuk membawanya ke klinik.
"Saya terpaksa memujuk emak naik motosikal untuk ke klinik memandangkan hanya itu kenderaan ada pada hari kejadian. Waktu kejadian kira-kira jam 12 tengah hari dan banyak klinik tutup untuk solat Jumaat," kongsinya.
Nanie yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik berkata, dalam perjalanan balik ke rumah, beliau merasakan belakang badan dipeluk emaknya dan bersandar. Nanie terus mengeluarkan telefon dan merakam video bagi melihat keadaan wanita kesayangannya itu.
"Saya lihat mata emak sudah terpejam menyebabkan saya panik dan terus meraung serta menangis. Saya juga menghubungi rakan serta adik-beradik terdekat untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Dia yang kemudian mendapat bantuan daripada orang ramai mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu termasuk seorang pemilik MyVi yang menolong membawakan ibunya ke hospital.
"Saya tidak berani mengambil risiko lain. Saya terkaku dan bimbang emak akan rebah. Cuma mampu rekod sementara menunggu bantuan sampai," ujarnya.
Biarpun menerima banyak kecaman daripada warga maya, Nanie menjelaskan tindakannya merakam video adalah bagi memantau keadaan ibunya.
Bukan sahaja ketika kejadian itu, wanita berusia 40 tahun itu mengakui memang suka merakam video dengan emaknya dalam apa sahaja keadaan sebagaui memori.
"Tujuan saya muat naik video itu adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai hubungan kekeluargaan termasuk dengan emak.

"Saya mahu orang ramai faham bahawa ada di antara kita yang terpaksa korbankan kerjaya dan cita-cita untuk menjaga emak dan ayah.
"Meskipun ramai yang mengecam saya, namun ada juga antara warganet yang memberi komen positif. Malah ada di antara mereka turut mendoakan kesihatan emak.
Semoga kita ada kenangan dengan insan tersayang," katanya.
Sehingga kini, dua video yang dimuat naik Nanie masing-masing merekodkan lebih 2.5 juta dan 18.8 juta tontonan.
Sumber: Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang