'Minta maaf sayang, tak boleh beri zuriat…" – Achey kongsi pengorbanan Anne gadai emas, jadi pencuci demi keluarga

No Image Caption
A
A
A

DI sebalik kejayaan seorang lelaki, ada susuk wanita di belakangnya yang sering mendukung setiap apa yang dibuat oleh pasangannya itu.

Pelawak dan pelakon, Achey baru-baru ini membuat pendedahan dalam satu podcast tentang pengorbanan isterinya yang orang ramai tidak tahu.

Akui Achey atau nama lengkapnya Mohd Nasir Hamzah, orang ramai hanya melihat luaran isterinya memakai gelang emas, nampak senang dan bahagia. Namun, tidak ramai yang tahu pengorbanan wanita itu sebelumnya.

"Kalau orang tanya kenapa saya manjakan isteri, sebab dia dah lalui macam-macam. Yang tahu hanya kami berdua.

"Dia pernah gadai cincin kahwin, pernah jadi pencuci, semata-mata nak saya teruskan perjuangan dalam industri.

"Jadi, bila orang persoalkan kenapa isteri saya pakai barang kemas, itu adalah ganjaran atas semua jerih perih dia. Dia percaya dengan suaminya, walau masa depan masa tu kabur," kata Achey.

No Image Caption



Namun begitu, pengorbanan isterinya, Nor Hasanah atau Anne tidak terhenti di situ dan terpaksa berdepan dengan dugaan untuk mendapatkan zuriat.

Achey berkata, dia dan isteri pernah membuat persiapan untuk melakukan rawatan kesuburan.

Namun diuji, iaitu pada malam separuh akhir Muzikal Lawak Superstar, Anne perlu menjalani pembedahan untuk membuang tiub falopio.

"Pada mulanya kami buat persiapan untuk IVF (Persenyawaan In Vitro) dan IUI (Inseminasi Intrauterin), kami ikut prosedur dan jaga pemakanan.

"Sehinggalah satu malam isteri saya dimasukkan ke hospital selepas dia mengadu sakit pada bahagian rahim.

"Pada hari itu kami menerima berita yang kami perlu terima selama-lamanya, tiub falopio isteri saya terpaksa dipotong.

"Bukan satu tetapi kedua-duanya sebab satu sudah tersumbat dan satu lagi sedang membengkak," kongsi Achey.

No Image Caption



Walau bagaimanapun, mereka reda dengan kenyataan perit iaitu mereka tidak boleh mendapatkan zuriat secara normal.

"Kami reda dan isteri saya berkata, ‘minta maaf sayang, saya tak boleh nak bagi awak zuriat.’

"Selama-lamanya secara logik dan saintifiknya kami tidak boleh dapat anak secara normal walaupun semua orang suruh kami pergi berubat.

"Salah satu cara adalah dengan IVF, di mana doktor boleh mengambil telur," jelas Achey.

Sekadar info, Achey dan Anne atau nama sebenarnya Nor Hasanah Yahaya mendirikan rumah tangga pada 2011 namun masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Sehinggalah pada tahun 2018, pasangan suami isteri ini mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat, Tiara Zinnirah, 7.



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang