Misi berjalan kaki ke Tanah Suci, dua pemuda selamat tiba di Madinah selepas 113 hari!

No Image Caption
A
A
A

Dua pemuda yang memulakan misi berjalan kaki menuju ke Tanah Suci akhirnya selamat sampai di Madinah selepas 113 hari memulakan perjalanan mereka.

Sepanjang misi ini, pemuda berasal dari Bagan Serai, Perak, iaitu Mohamad Al-Bukhari Ellia, 27, dan Mohamad Azizul Abdullah perlu menempuh perjalanan sekitar 8,000 kilometer untuk sampai ke sana.

Baru-baru ini, mereka berpeluang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang beriktikaf di Masjid Nabawi, Madinah.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Ahmad Zahid di laman Facebooknya, beliau meluahkan rasa bangga terhadap dua anak muda tersebut yang berjaya mengharungi pelbagai rintangan demi ke tanah suci.

"Ketika sedang beriktikaf di Masjid Nabawi, saya dipertemukan dengan dua orang sahabat, saudara Mohamad Al-Bukhari Ellia dan saudara Mohamad Azizul Abdullah yang berkongsi kisah luar biasa mereka berjalan kaki dari tanah air kita menuju ke Makkah dalam misi menunaikan ibadah Haji 2025.

"Melangkahkan kaki sejauh ribuan kilometer selama beberapa bulan dari Masjid Jamek Changkat Lobak, Bagan Serai menzahirkan ketabahan dan membuktikan keberanian mereka dalam merealisasikan niat suci untuk mencari cinta Ilahi dan Nabi SAW.

"Perjalanan mereka yang sanggup berjalan ribuan kilometer demi meraih reda Ilahi seharusnya menjadi inspirasi. Sejauh mana pula usaha kita dalam mendekatkan diri mencari kasih-NYA, Rabbi? Tepuk dada, tanyalah hati," katanya.

No Image Caption

Ahmad Zahid turut berkongsi ayat ke-27 Surah Al-Hajj yang bermaksud, "Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan dengan menaiki unta yang kurus, datang dari segenap penjuru yang jauh."

Dalam pada itu, menerusi perkongsian Mohamad Al-Bukhari di TikToknya, dia dan Mohamad Azizul meluahkan rasa syukur kerana usaha mereka selama ini telah membuahkan hasil.

No Image Caption

Pada kesempatan itu, Mohamad Azizul menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak pernah berhenti mendoakan dan membantu mereka sepanjang perjalanan yang panjang itu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang