Nahas bas UPSI: Dr Mahmud jelaskan hak undang-undang, saran waris tuntut keadilan

NAHAS bas yang menyebabkan kematian 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja meninggalkan luka yang dalam buat keluarga mangsa tetapi turut membuka persoalan besar tentang tahap keselamatan pengangkutan awam serta tanggungjawab pihak pengendali.
Terkesan dengan peristiwa hitam yang berlaku, Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Dr Mahmud Jumaat, tidak lokek berkongsi ilmu undang-undang kepada waris mangsa yang terlibat.
"Sebagai bekas pensyarah sambilan di UPSI, saya sangat bersimpati dan sedih dengan kejadian kemalangan yang berlaku sehingga meragut 15 nyawa pelajar UPSI di Gerik, Perak.
"Tidak terkata apabila melihat rakaman video ketika kejadian yang mengerikan itu apatah lagi ada juga yang memaklumkan tentang rakaman dashcam bibit-bibit akhir kejadian, bagaimana bas tersebut terbabas sebelum merempuh bahagian belakang mpv," kongsinya

Pemandu utama dikatakan patah tangan dan pemandu gantian dikatakan kritikal.
"Terdapat mangsa yang memberi keterangan bahawa pemandu tersebut memandu dalam keadaan yang laju sebelum berlakunya kemalangan.
"Dalam kes kemalangan begini, terdapat dua tindakan yang boleh diambil ke atas pemandu dan pihak syarikat iaitu siasatan bawah jenayah pengangkutan jalan raya dan tuntutan ganti rugi sivil.
Dalam kes jenayah, kes disiasat bawah seksyen 41 Akta pengangkutan jalan 1987 sama ada kemalangan tersebut berlaku atas kecuaian manusia atau faktor lain.
Tambahnya lagi, saksi mata sangat penting dalam siasatan ini.
"Saya harap saksi-saksi di tempat kejadian boleh bantu dalam buktikan pemandu tersebut membawa bas secara melulu dan laju dengan memberi keterangan atau beri rakaman dashcam untuk dijadikan sebagai bukti keterangan dan dokumentar untuk menuntut keadilan bagi mangsa yang terlibat.
"Dalam kes tuntutan sivil, adalah lebih wajar mangsa-mangsa dan waris-waris dari awal kejadian melantik peguam dalam menasihati draf laporan yang sewajarnya dibuat dalam memudahkan tuntutan ganti rugi yang boleh dituntut oleh dan atau bagi pihak mangsa dalam tuntutan ganti rugi sivil" katanya.
Untuk kes ini, waris mangsa boleh menuntut pampasan atas kecuaian pihak pemandu dan syarikat pengendali bas. Ganti rugi boleh dituntut atas pelbagai asas termasuk kehilangan pendapatan masa depan, trauma, kesedihan dan kos pengurusan jenazah.
Viral di sosial media apabila permohonan maaf dan pengakuan dari pemandu bas mendapat reaksi ‘panas’ dari masyarakat yang rata-rata mahukan kebenaran segera dibongkar.
"Saya doakan agar mangsa serta waris arwah dipermudahkan urusan dalam menuntut keadilan bagi mangsa kemalangan," ujarnya lagi.
Al- Fatihah
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang