Patut meeting tapi tak muncul, wanita maut dirempuh lori ketika tukar tayar. Rakan pilu detik akhir - 'Senyum sahaja Amy. Hari ini cantik sungguh bidadariku'
PILUNYA hati pemergian wanita ini. Hanya berada di lorong kecemasan untuk menukar tayar kenderaannya, Nurul Amirah Hamdan, 31, pergi selamanya dalam keadaan tragis dirempuh lori kontena.
Dalam kejadian pada 9.20 pagi Rabu di Kilometer 260.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Seremban, mangsa Nurul Amirah Hamdan, 31, yang bekerja di sebuah syarikat penapis air dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
Rakan sekerja mangsa, Nur Affiqah Jamran, 30, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan serumah mangsa.

"Kami sepatutnya mesyuarat dengan arwah pagi ini, tapi pelik juga tengok dia tak sampai lagi ke pejabat sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan.
"Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia dan mayatnya telah ditutup dengan kain putih," katanya kepada Sinar Harian.

Hati Nur Affiqah luluh kerana rakannya itu pergi selamanya hanya ketika mahu menukar tayarnya yang pancit.
Mengenang kembali persahabatan, Allahyarham disifatkan seorang rakan yang baik dan mudah mesra dengan kawan-kawan.
Sementara itu, seorang lagi rakan iaitu pengguna Tiktok @thedontknowusername berkongsi ucapan perpisahan serta luahan kehilangan yang meruntun hati. Beliau pilu menceritakan detik-detik terakhir menguruskan jenazah Allahyarham Nurul Amirah atau mesra disapa Amy.

"Hai sahabat dunia akhirat, Nurul Amirah . Sekejap sahaja ALLAH pinjamkan engkau, kan Amy. Orang baik memang ALLAH ambil . Selamat pulang ke negeri abadi. Tadi aku hendak mandikan engkau, tetapi ruang sempit. Namun aku sempat mengkafankan engkau. Harum benar bau wangianmu masih terbau lagi hingga kini.
"Selalu aku peluk engkau, engkau ketawa-ketawa bila aku peluk. Kali ini tiada lagi gelak, Amy. Kalau dulu bila aku cium, badan engkau masih panas, sekarang tubuhmu sudah sejuk dan engkau diam sahaja ketika aku peluk . Engkau selalu mengadu penat, bukan? Rehatlah, okay. Tenang-tenanglah.
"Hilang sudah sahabat aku. Engkau pun tahu kawan aku tidak ramai, Amy. Tetapi tidak mengapa, aku tahu engkau selalu ada. Doaku sentiasa ada untukmu. Nanti datanglah lepak dalam mimpi aku. Senyum sahaja, Amy. Hari ini cantik sungguh bidadari aku ini.
"Amy, terima kasih kerana menjadi kawan yang baik dan ikhlas. Nasihat engkau selalu seperti nasihat seorang kakak kepada aku," kongsinya.
SAKSI KEJADIAN DIMINTA HUBUNGI POLIS
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki kereta jenis Proton X50, namun berhenti di lorong kecemasan selepas menyedari tayar belakang sebelah kanan pancit.
"Semasa sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun di lorong kiri telah bergesel dengan mangsa.

"Akibatnya, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya telah dibawa ke Hospital Rembau untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sumber: Sinar Harian, TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

