Pelajar tingkatan dua tumbuk guru gara-gara ditegur ponteng kelas PJ
INSIDEN membabitkan pelajar lelaki berusia 14 tahun di salah sebuah sekolah menengah di Kajang telah mencuri perhatian ramai selepas video memaparkan aksi agresifnya terhadap seorang guru tular di media sosial.
Video berdurasi 38 saat itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata mengecam kelakuan pelajar terbabit, selain memuji tindakan guru yang penyabar serta tidak membalas pukulan tersebut.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu berlaku selepas pelajar tersebut tidak berpuas hati apabila ditegur oleh guru lelaki berusia 29 tahun kerana tidak menghadiri kelas Pendidikan Jasmani (PJ).

“Teguran tersebut membawa kepada satu pergelutan antara suspek dan mangsa, sebelum pelajar terbabit bertindak menumbuk muka guru berkenaan serta mengeluarkan ugutan.
“Kejadian berkenaan turut disaksikan beberapa guru dan pelajar lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Naazron, guru berkenaan telah membuat laporan polis sekitar jam 7.15 malam pada Isnin dan hasil siasatan membawa kepada penahanan pelajar terbabit di sekitar Kajang.

Menurutnya, pelajar itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada Rabu, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Dalam perkembangan sama, menurut laporan Berita Harian, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan melangkau pihak polis dalam menjalankan siasatan membabitkan pelajar tingkatan dua itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan walaupun kementerian mempunyai peraturan dalam menangani insiden di sekolah.

Pada masa sama, menurutnya, KPM akan memberi tumpuan khususnya kaunseling kepada guru terbabit.
Justeru itu, kejadian seumpama ini mencerminkan betapa serius masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah dan ia menjadi penggera awal untuk sistem pendidikan negara agar lebih tegas dalam menangani isu disiplin.
Dalam masa sama, pendekatan psikososial dan kaunseling terhadap pelajar juga perlu dititikberatkan supaya tindakan yang diambil bukan sekadar menghukum, tetapi juga mendidik dan mencegah kejadian sama berulang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
