Prank birthday bertukar tragedi, isteri bergegas pulang konon suami curang maut kemalangan. 'Sampai sekarang dia tak kahwin baru...'
MENYIRAP dan geram! Mendengar si suami bertindak curang, wanita mana yang tidak mengamuk bukan?
Ramai meluahkan tidak puas hati tindakan seorang lelaki melakukan prank keterlaluan kepada isterinya sempena hari lahir.
Niat mungkin hanya ingin membuat kejutan tetapi suaminya itu berkomplot bersama anak-anak untuk ‘prank’ wanita itu mengundang kecaman warga maya.
Menerusi video tular berdurasi 1 minit 51 saat tersebut, lelaki berkenaan kononnya membawa pulang wanita lain yang membuatkan isterinya marah.
Si isteri pulang dalam keadaan tergesa-gesa menyerbu kediaman yang kononnya sang suami telah kantoi membawa pulang wanita muda.
Namun sebaik membuka pintu bilik dalam keadaan marah, beliau dikejutkan dengan nyanyian lagu Happy Birthday dan kek hari jadi yang telah dinyalakan lilin.
Belum sempat kasut dibuka, wanita berkenaan sempat melemparkan topi keledar dan memberi amaran.
"Kau main-mainkan aku kan? Aku tak nak dengarlah, tak guna.
"Kau jangan bang, kalau kau betul-betul buat," kata si isteri dalam sebak.
Dalam babak lain, wanita berkenaan berlinang air mata seolah dalam keadaan tidak rela memotong kek dan menerima hadiah daripada suami.
"Semoga awak panjang umur," kata si suami sambil memeluk. Malah wanita itu juga menerima pelukan daripada anak-anaknya.
Malah wanita yang berlakon menjadi 'pucuk muda' itu turut meminta maaf.
Prank berkaitan kecurangan seumpama itu bukanlah pertama kali. Bahkan sebelum ini pernah meragut nyawa.
Kejutan hari lahir seorang bapa tiga anak berakhir tragedi berdarah yang menyaksikan kematian si isteri.
Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Sitti Zainah Zainani menerusi ruangan berkata pernah mengendalikan kes kemalangan maut yang berkaitan dengan prank begitu.
"Saya pernah handle kes kemalangan maut. Rupa-rupanya si isteri dalam perjalanan untuk pulang dalam tergesa-gesa sebab kawan beritahu suami bawa perempuan lain pulang ke rumah.
"Keluar dari simpang kilang motosikal isteri terbabas dilanggar kereta. Si isteri meninggal dunia ditempat kejadian. Suami di rumah tunggu hendak prank birthday wife, tapi majlis prank bertukar jadi tragedi berdarah.
"Sampai sekarang husband berkenaan tidak kahwin lagi dan fokus besarkan tiga orang anak. Anak sulung mereka sekarang sudah masuk universiti.
"Bukti si suami menyesal tak sudah ialah sampai sekarang dia tak kawin lain. Semasa kejadian anak-anak kecik lagi. Yang sulung tu pun tadika kalau tak silap," katanya
Jadi kalian, berpada-padalah. Berkahwin dan berjanji hidup untuk bersama sampai jannah, elakkan menyakiti hati pasangan dan memmalukan di media sosial ya
HUKUM PRANK DALAM ISLAM
Menurut Pejabat Mufti Wilayah, hukum asal bagi gurauan atau prank adalah dibolehkan selagi ia tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau.
Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan, maka ia adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya.
Tambahan lagi, video prank yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekali gus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa.
Oleh kerana itu, kita dinasihatkan agar mengelakkan dari menghasilkan video-video atau content prank yang boleh menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan.
Sumber: Facebook, TikTok, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang