Remaja 13 tahun dilaporkan hilang selepas enggan kembali ke asrama. 'Pernah suarakan tidak sanggup berjauhan daripada keluarga'

BAGI sesetengah anak remaja, tinggal di asrama mungkin menjadi pengalaman yang mencabar, lebih-lebih lagi apabila hati masih kuat terikat pada rumah dan keluarga.
Itulah yang dipercayai berlaku kepada Anas Baihaqi Miqdad Johari, seorang pelajar berusia 13 tahun dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pekan, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarganya dipercayai kerana enggan kembali ke asrama.
Segala-galanya bermula apabila ibunya menyedari ketiadaan Anas dalam bilik tidurnya kira-kira jam 4 petang semalam.
Memetik laporan BERNAMA, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, sebelum kejadian, ibu mangsa yang berusia 41 tahun memaklumkan Anas Baihaqi masih berada di rumah sekitar pukul 3.30 petang.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, pengadu menyedari anaknya tiada lalu mencarinya di sekitar kawasan perumahan tetapi gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, semakan awal mendapati remaja berkenaan memakai kemeja-T merah, seluar trek hitam dan kasut sukan jenama Puma ketika keluar dari rumah.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa sebelum ini pernah menyuarakan keengganan untuk pulang ke asrama kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga.
“Dia juga didapati membawa bersama telefon bimbit milik adiknya, yang masih boleh dihubungi namun tiada sebarang jawapan. Remaja itu turut membawa kasut sukan, beg galas sekolah dan wang tunai kira-kira RM200,” katanya lagi.
Tambah Wan Zahari, ini merupakan kali pertama remaja berkenaan dilaporkan hilang dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan serta usaha mengesannya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kelibat remaja ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Walau bagaimanapun, adik Anas ditemukan selamat di rumah saudaranya di Chukai, Terengganu, pagi Isnin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pelajar terbabit, Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, dikesan berada di kediaman saudaranya kira-kira jam 7 pagi hasil siasatan awal dan maklumat daripada ahli keluarga.
"Selepas menerima laporan pada jam 4 petang semalam, polis menjalankan siasatan termasuk menemu bual keluarga pelajar terbabit yang tinggal di Kuantan.
"Alhamdulillah, pada jam 7 pagi ini, pelajar itu berjaya dikesan di rumah saudaranya di Chukai dan berada dalam keadaan selamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan bagi bulan Mei Tahun 2025 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di pekarangan IPK Pahang di sini pada Isnin.
Yahaya memaklumkan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui bagaimana pelajar terbabit boleh sampai ke lokasi berkenaan.
"Kes kehilangan ini sudah selesai, tapi siasatan lanjut diteruskan untuk mendapatkan maklumat bagaimana pelajar itu sampai ke Chukai," ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang