Ribuan pelajar SPM Sabah dapat suntikan semangat bersama Syed Saddiq & Bella Astillah- 'Pendidikan mampu mengubah hidup'

No Image Caption
A
A
A

BAYANGKAN dewan penuh dengan ribuan anak muda Sabah, wajah penuh harapan dengan tangan ligat menulis nota dan hati sarat impian. 

Begitulah suasana yang berlaku di ITCC Penampang baru-baru ini apabila lebih 4,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkumpul untuk menimba ilmu, motivasi dan pengalaman berharga.

Lebih menceriakan, bukan sekadar tenaga pengajar yang turun padang, malah figura inspirasi turut hadir menyuntik semangat. 

No Image Caption

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil berkongsi mesej penuh motivasi tentang disiplin dan konsistensi, manakala selebriti kesayangan ramai, Bella Astillah, berkongsi kisah penuh emosi sebagai anak jati Sabah yang mahu melihat adik-adik bangsanya berjaya.

“Jangan fikir kejayaan itu milik yang paling bijak sahaja. Ia milik mereka yang paling konsisten berusaha,” pesan Syed Saddiq, disambut tepukan gemuruh ribuan pelajar. 

Bagi Bella pula, detik ini begitu menyentuh jiwa. 

“Sebagai orang Sabah, saya tahu betapa pendidikan mampu mengubah hidup. 

"Saya doakan semua calon SPM jadikan kejayaan sebagai hadiah buat diri dan keluarga,” luah Bella, penuh bangga melihat sambutan hangat daripada pelajar negeri kelahirannya.

Menariknya, Bella sempat menunjukkan sokongan terhadap kes Allahyarhamah Zara Qairina apabila mengenakan pakaian dengan tulisan 'Justice For Zara'.

No Image Caption

Simbolik tersebut melambangkan sokongan untuk mendapatkan kebenaran di sebalik peristiwa yang memberi kesan yang mendalam terhadap para pelajar terutamanya di Sabah.

Inilah yang menjadikan program PTTI Jelajah Skor A+ SPM Sabah yang berlangsung pada 16 Ogos lalu begitu luar biasa. 

Selain ceramah akademik, ia turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada MK K-Clique, sekali gus membuatkan suasana lebih segar dan tidak membosankan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau mesra disapa Cikgu Fana, objektif utama penganjuran ini adalah memastikan pelajar SPM mendapat suntikan ilmu dan keyakinan menjelang peperiksaan besar nanti. 

“Kami percaya setiap pelajar berhak cemerlang. Kehadiran lebih 4,000 orang di Sabah bukti anak-anak kita dahagakan ilmu dan motivasi. 

"Dengan sokongan ramai pihak, kami mahu mereka yakin bahawa masa depan cerah menanti jika mereka berusaha,” jelasnya. 

No Image Caption

Kehadiran nama-nama besar seperti Syed Saddiq, Asyraf Khalid, MK K-Clique dan Bella Astillah pula, menurut Cikgu Fana, menjadi bukti bahawa kejayaan boleh datang dalam pelbagai bentuk baik akademik, seni mahupun kepimpinan.

Selepas kejayaan di Sabah, pihaknya bakal meneruskan usaha dengan menganjurkan Seminar Shortcut Last Minute SPM secara percuma dan terbuka kepada semua calon SPM di Malaysia. 

Seminar ini akan berlangsung secara dalam talian pada 27 hingga 30 Ogos, memberi peluang kepada pelajar di seluruh negara untuk sama-sama mengutip ilmu bermanfaat.

Melihat semangat ribuan calon SPM di Sabah, jelas bahawa masa depan negara berada di tangan yang penuh potensi. Mereka bukan sekadar calon peperiksaan, tetapi bakal pemimpin, penggerak industri dan wajah Malaysia yang lebih gemilang. 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang