'Sanggup lepas gaji puluh ribu asal selamat.' Anak sumber kekuatan, air mata & foto pemulihan Faisal Halim undang sebak warganet

No Image Caption
A
A
A

PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim tidak dapat menahan sebak apabila ditanya mengenai perkembangan kariernya pada masa depan.

Hadir dalam sidang media, pemain yang juga dikenali sebagi Mickey itu juga bersyukur atas semangat kuat yang diberikan daripada semua pihak.

“Saya sanggup hilang gaji saya berpuluh ribu untuk berhenti bermain bola sepak asalkan saya dan keluarga selamat.

"Datuk (Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar) janjikan kepada saya dan keluarga boleh teruskan dan jamin keselamatan, sejak itu saya mula bersemangat untuk terus bermain bola semula," kata pemain berusia 26 tahun itu.

No Image Caption

Menitiskan air mata, Faisal sayu berkata, sanggup melepaskan gaji yang mahal untuk hidup tenang.

"Biarlah gaji RM50 atau RM100 sehari, saya sanggup asalkan tidak hidup dalam ketakutan kerana apa yang terjadi ini di luar jangkaan yang tidak boleh diterima.

"Semangat dan doa daripada orang ramai membuatkan saya bersemangat untuk teruskan karier, insya-ALLAH," katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata selepas kecederaan, kehidupannya berubah.

"Selepas kejadian kehidupan saya agak berbeza. Saya tidak boleh makan atau ke tandas sendiri dan memerlukan bantuan daripada keluarga terutama isteri yang berada di sisi sejak hari pertama.

"Begitu juga keluarga yang bergilir-gilir memantau, menjaga saya dan memberikan semangat," kata Faisal.

No Image Caption

Dedah Faisal lagi, doktor yang merawat pada mulanya menganggarkan proses pemulihan mengambil masa tiga hingga enam bulan namun kapten Selangor FC itu mahu kembali beraksi lebih awal.

"Doktor pada awalnya memaklumkan saya untuk berehat tanpa anggaran masa dan jaminan. Namun, apabila mendengar jangkaan tempoh tiga hingga enam bulan, memang sukar untuk diterima.

"Sepanjang kerjaya, sama ada kelab mahupun peringat kebangsaan, saya tidak pernah berehat lebih dari sebulan terutama dua tahun kebelakangan ini. Walaupun demam atau kurang sihat, tetap akan berada di padang," katanya.

Dalam pada itu, anak jati Mengkuang Titi, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang itu terharu dengan doa yang dititip rakyat Malaysia yang menurutnya menjadi asbab pemulihan yang pantas.

No Image Caption

"Ramai yang menganjurkan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat untuk saya. Doa-doa itu memberikan semangat dan kesembuhan, Alhamdulillah.

"Harapan saya sebulan atau sebulan lebih saya hendak kembali ke padang," katanya.

Pemain yang memakai jersi nombor tujuh itu mengakui anaknya, Khalish Aryan Faisal adalah tonggak semangat.

"Kekuatan saya adalah keluarga sama ada keluarga kecil mahupun besar. Tentunya anak saya kerana kami sangat rapat.

"Selepas kejadian itu, saya tidak lagi dapat mencium dan memeluknya selama sebulan sehinggalah beberapa hari lalu. Ia bukannya perkara yang mudah untuk seorang ayah. Saya juga masih tidak dapat tidur dengannya seperti dulu.

"Anak saya adalah semangat dan kekuatan saya. Pun begitu, apa yag berlaku ini, saya reda dan hati terbuka. Semoga saya dapat kembali dan memberikan hadiah untuk anak," kata Faisal dalam sebak.

Warganet yang menyaksikan foto kemajuan pemulihan Faisal meluah rasa sedih dan pilu serta menitipkan doa agar pemain itu segera pulih. Ujar mereka:

"Semoga pelaku mendapat balasan ALLAH dunia dan akhirat. Aamiin!"

"Sedih tak terucap,semoga pelaku dan si perancang dapat balasan yang setimpal. Semoga cepat sembuh Faisal Halim."

"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Terus kuat Miki, Allahuakbar"

"Allahuakbar, sampai macam ni sekali. Ya ALLAH moga ada keadilan buat Faisal."

Dalam masa yang sama, bintang Harimau Malaya itu turut mengucapkan terima kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang juga Presiden Selangor FC kerana menanggung kos perubatan serta rawatan.

Faisal mengalami kecederaan melecur tahap kedua yang melibatkan bahagian dada, lengan, bahu dan leher susulan disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali bermotosikal di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang