'Saya sambut sendiri di pintu wad…' – Anak maut dirempuh anggota polis, jururawat tak sangka salam terakhir jadi momen perpisahan
“SAYA hanya mampu berdiri di sisi, cuba kuatkan diri walaupun hati sudah runtuh. Pandangan mata dia, keadaan dia waktu itu... semua kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila.”
Itulah detik yang tidak akan dilupakan ibu bernama Norliza Mohd Salleh.
SinarPlus sempat menemu bual ibu berusia 44 tahun itu yang juga seorang jururawat, menyaksikan sendiri anak bongsunya, Muhammad Nur Iman Danial, 16, ditolak masuk ke unit kecemasan selepas terlibat dalam kemalangan.

“Saya bertugas syif malam di Hospital Yan malam itu. Sebelum keluar rumah, dalam pukul 8.20 malam, anak sempat bersalam dan minta duit belanja sekolah.
"Waktu itu, tak terlintas langsung dalam hati yang itu mungkin momen terakhir saya lihat dia sedar dan bercakap seperti biasa.
“Tak lama selepas saya sampai ke tempat kerja, saya terima satu panggilan. Suara di hujung talian beritahu, anak saya kemalangan. Jantung saya terus berdebar.
“Sebagai jururawat, saya sudah biasa dengan kecemasan… tapi kali ini berbeza. Ini anak saya sendiri.
“Saya tunggu di pintu kecemasan Hospital Yan. Ketika JPAM tiba dan tolak anak saya masuk, luluh hati saya melihat keadaannya,” ujarnya.
Lebih menyayat hati, Norliza sendiri yang menyambut tubuh kaku anaknya. Ketika itu, dia baharu sahaja memulakan syif malam di hospital tersebut.
“Dia separuh sedar, tak memberi tindak balas, dan dalam masa sama diserang sawan. Badannya kejang… dan sebagai ibu, naluri saya kuat mengatakan sesuatu yang serius berlaku di bahagian kepala.
“Saya tunggu di pintu wad kecemasan. Mereka tolak anak saya masuk, dia sudah tidak sedarkan diri.
“Saya cuma mampu menangis sambil cuba bantu setakat yang saya mampu. Tapi sebagai seorang ibu… saya tahu dia sudah tidak sama.
“Doktor dan pasukan perubatan cuba sehabis baik untuk selamatkan anak saya. Tapi luluh hati saya melihat keadaannya yang begitu kritikal… saya hanya mampu berdiri dan berdoa,” ungkapnya.
Bagi Norliza, Iman bukan sekadar anak bongsu, dia juga ‘peneman setia’ setiap kali ibunya memerlukan seseorang di sisi.

“Arwah memang manja orangnya. Dialah yang teman saya ke kedai, ke pasar malam, ke mana saja.
“Malam-malam kalau saya ajak keluar beli barang pun, dia yang akan ikut… sebab abang dia sudah duduk di kolej,” kongsi ibu itu lagi.
Dia berkata demikian ketika ditemui media sewaktu menghadiri prosiding kes di Mahkamah Majistret Gurun yang melibatkan tertuduh, Koperal Azhar Mat Saini, 52, yang didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Nur Iman.
BERTARUNG NYAWA
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu seksyen yang memperuntukkan hukuman penjara serta denda bagi kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Menurut Mohd Roshidi, ayah kepada Allahyarham, pihaknya sentiasa mengikuti setiap perkembangan kes.
Malah, mereka juga sedang dalam proses untuk melantik peguam pemerhati bagi pihak keluarga.
Insiden tragis itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Iman dirempuh sebuah kereta dipandu oleh seorang anggota polis.

Kemalangan tersebut berlaku di Guar Chempedak, Kedah, ketika remaja berkenaan dalam perjalanan pulang.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak itu mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan terus dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Namun, selepas tiga hari bertarung nyawa, Iman akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada malam Khamis.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

