Sedihnya! 24 jam hilang akhirnya terjawab, polis sahkan mayat Nidza Afham ditemui di Sungai Klang. Bapa sempat laungkan azan
MISTERI kehilangan penyanyi Nidza Afham Mokhtar, 23, akhirnya terjawab apabila mayat lelaki dewasa yang dijumpai di sungai sekitar Jambatan Sungai Klang di sini, pada Rabu disahkan miliknya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
"Mayat itu dijumpai kira-kira jam 7 petang tadi (Rabu) dan disahkan adalah individu yang dilapor hilang (Nidza Afham)," katanya.
SinarPlus terdahulu berkongsi berita kehilangan Nidza Afham yang merupakan abang kepada penyanyi Aufahanie.
Menurut polis menerusi laporan yang diterima pada jam 4.22 pagi, Allahyarham dikatakan meninggalkan rumah pada jam 7.45 malam, Selasa.
Peserta I Can See Your Voice 3 itu memakai baju berwarna biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjoging.
Lokasi terakhir keberadaan Nidza Afham adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Pada 3.31 petang, bapa Allahyarham melaungkan azan di Jambatan Sungai Klang dalam ikhtiar mengesannya.
Video laungan azan oleh bapa Nidza Afham itu dimuat naik Aufahanie di platform media sosial X.
Sementara itu, abang ipar arwah, Effie Amron berkata, kehilangan adik iparnya yang mesra disapa Apam tiada unsur pergaduhan atau terlibat dengan sebarang kes pinjaman wang dengan pemungut hutang 'along'.
Dalam satu hantaran dimuat naik di media sosial, Effie berkata, dua unsur tersebut didakwa tidak ada setelah mereka sekeluarga memeriksa telefon bimbit Apam yang ditemukan di atas Jambatan Sungai Klang.
Katanya, semuanya dalam keadaan baik dan adik iparnya itu juga berjaya menghabiskan larian di stadium.
Terdahulu, abang sulung Nidza Afham, Mohd Nidza Irfan Mokhtar memaklumkan pihaknya ada melihat kelibat Apam dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Menurutnya, berdasarkan rakaman CCTV itu, lokasi terakhir kelibat Nidza dilihat berada berhampiran Gereja St Barnabas pada jam 9.06 malam, Selasa.
Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang