Sempat lapan hari bergelar suami, pengarah animasi terkenal ditemui meninggal dunia- ' Baru nampak post pasal kahwin, hari ini...'
SAYU! Hanya sempat bergelar suami selama lapan hari, pemergian pengarah animasi terkenal, Andi Abdul Ghani A Kadir benar-benar meruntun hati ramai.
Menerusi laman sosial Wau Animation Sdn Bhd, dimaklumkan Andy meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Sungai Kinabatangan, Sabah.
"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Dengan berat hati, kami memaklumkan bahawa salah seorang Wauriors, Andi Abdul Ghani A Kadir, telah ditemui dan disahkan meninggal dunia.
"Beliau adalah Animation Director untuk Ejen Ali dan ahli Braintrust di WAU Animation yang bersama-sama menjayakan IP Ejen Ali.

"Kami mengucapkan setulus takziah kepada keluarga beliau.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, al-Fatihah," kongsinya.
Lapor Berita Harian, mayat Andi ditemui sekitar jam 11.25 pagi di tepi sungai berhampiran lokasi dia dilaporkan kali terakhir dilihat di jambatan Kampung Batu Putih, Kinabatangan.
Dalam kejadian petang Selasa, lelaki berkenaan bersama isterinya berusia 33 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, kenderaan dipandu isterinya dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan Andi kemudian dikatakan keluar sebelum kali terakhir dilihat di jambatan berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5.03 petang Selasa.
Difahamkan, jarak lokasi dengan balai bomba adalah sejauh 23 kilometer.
Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sebelum ditangguhkan pada jam 6.52 petang dan disambung semula pagi tadi. Mayat lelaki berkenaan kemudian ditemui pasukan penyelamat di tepi sungai berhampiran lokasi dia dipercayai hilang.
UCAPAN TAHNIAH BERTUKAR TAKZIAH
Sementara itu, lebih memilukan, tinjauan SinarPlus mendapati Andi memuat naik foto perkahwinannya ke laman sosial Facebook beberapa jam sebelum dilaporkan hilang.
Sempat menukar foto profail pada jam 1.25 petang, hantaran tersebut menerima lebih 150 komen ucapan tahniah dan doa daripada warganet.
Abang ipar Andi, Abu Azzam Arradhi sempat memaklumkan kejadian yang menimpa pengarah berbakat itu pada ruangan berkenaan.

"Salam semua, saya abang kepada Andi mohon jasa baik semua mendoakan adik saya yang sekarang ditimpa musibah eksiden dalam perjalanan Tawau ke Kota Kinabalu. Mohon doa daripada semua ya. Terima kasih," titipnya.
Dalam hantaran yang sama menerima ucapan tahniah, ruangan komen turut dibanjiri ucapan takziah daripada warganet yang rata-rata tidak menyangka pemergian arwah berlaku dalam yang begitu singkat selepas bergelar suami.
"Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Baru sahaja mahu ucapkan selamat pengantin baharu. Ya ALLAH."
"Takziah buat famili Andi. Baru nampak post pasal kahwin semalam hari ini dapat berita pemergian."
"Biar betul abangku, baru sahaja selesai nikah."
"Innalillahi wainna ilaihirojiun. Arwah seorang yang baik, humble dan senang berkawan. Al-Fatihah."
Sumber: Facebook, Berita Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

