Sharifah Amanda Raudhah, bayi IVF yang lahir selepas dua dekad usia perkahwinan

BERTAHUN mendirikan rumah tangga dan masih tidak dikurniakan zuriat adalah cabaran besar yang perlu dihadapi oleh suami isteri. Khususnya kekuatan mental kerana terpaksa berhadapan dengan kata-kata orang sekeliling kerana ada antara mereka yang tidak memahami.
Sebagai hamba-Nya, siapalah kita untuk melawan takdir ALLAH. Lebih sedekad Norasniah ‘membina masjid’ bersama suaminya, Syed Shamsul dan masih belum mempunyai cahaya mata sendiri adalah ujian yang perlu diterima dengan reda.
Syukur Alhamdulillah pada tahun ke-20 usia perkahwinan mereka, segala usaha dan doa dimakbulkan oleh-Nya apabila dikurniakan cahaya mata perempuan hasil daripada rawatan In Vitro Fertilization (IVF) di salah sebuah klinik fertiliti swasta.
Melalui perkongsiannya di dalam video pendek di akaun TikTok milik Pakar Fertiliti & Ginekologi, Dr Salleha Khalid, beliau dan suami rasa sangat teruja dengan kehadiran cahaya mata yang ditunggu selama bertahun-tahun. Syawal tahun ini merupakan hari raya yang amat bermakna untuk mereka kerana dapat meraikan bersama insan teristimewa dalam dakapan.
“Alhamdulillah, pada tahun 2024, saya dan suami telah mendapatkan rawatan IVF. Ia merupakan tahun ke-19 kami berjuang dan mencuba untuk mendapatkan anak. Syukur pada 16 Januari 2025 lahirlah puteri kesayangan kami, Sharifah Amanda Raudhah.
“Saya tak tahu nak ungkapkan bagaimana perasaan saya ketika ini. Cuma apa yang saya boleh katakan kepada pejuang-pejuang di luar sana, jangan pernah putus asa. Allah sudah tentukan rezeki untuk kita tepat pada masanya. Saya cukup yakin pada kuasa-Nya. Walaupun 20 tahun menunggu namun inilah masa yang paling tepat untuk memiliki anak sendiri” ujarnya dengan nada sebak.
Norasniah yang berusia 43 tahun semasa melahirkan Amanda masih rasa tidak percaya dengan kehadiran cahaya mata dihadapannya sekarang ini. Dua dekad bukanlah satu waktu yang singkat. Hanya yang tahu sahaja memahami bagaimana perasaan mereka. Dia juga bersyukur kerana dikurniakan suami yang setia bersama-sama mengharungi ujian ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang