‘Suami akan mandi air tanah sertu kalau dia pegang’ - Bonda Rozita bela dua anjing K9 untuk jaga ladang

No Image Caption
A
A
A

 

USAHAWAN dan pengasas jenama kecantikan tersohor, Rozita Ibrahim berjaya mencuri perhatian netizen baru-baru ini selepas memuat naik gambar yang memaparkan dua ekor anjing baka German Shepherd (K9) peliharaannya di platform media sosial.

Menerusi perkongsian di Facebook, Rozita atau lebih dikenali sebagai Bonda Rozita memaklumkan bahawa anjing itu bukan dipelihara untuk dibelai, sebaliknya bagi tujuan keselamatan terutama menjaga ladang miliknya yang terletak di puncak hutan.

No Image Caption

Malah, Rozita berkata, suaminya yang dikenali sebagai Ustaz Khairul juga akan melakukan proses penyucian dengan mandi bersama air bercampur tanah sekiranya menyentuh haiwan berkenaan.

“Saya takut dan tak berani pegang, cuma berani dekat je. Gebu bagai serigala, tinggi dan besar…K9 namanya. Kami beli dua ekor. Pelihara anjing untuk tujuan keselamatan dan ladang yang luas di puncak hutan.

“Bonda bukan buat untuk tujuan gomol macam orang Inggeris dan cara samak juga kena tahu, malah perlu ambil lesen anjing. Mereka masih kecil, sebab ramai yang minta, Bonda kongsikan gambarnya.

No Image Caption

“Untuk menjinakkan, setiap hari diajak jalan atau jogging untuk dia kenal kawasan dan orang isi rumah. Setakat ini K9 suka bermain bola.

“Selepas menguruskan K9 dalam dua jam setiap hari, suami saya akan mandi air tanah sertu kalau dia pegang. Anjing ni sangat garang dan kalau orang asing masuk kawasan boleh meninggal dunia kena gigit, dia tak lepas,” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Dalam pada itu, ujar Rozita, anjing yang baharu berusia lapan minggu itu diberi nama Iddy dan Izzy yang masing-masing memiliki berat 14 kilogram (kg).

No Image Caption

Menurutnya, kedua-dua haiwan itu turut mempunyai sijil keturunan sendiri dan telah dipasangkan dengan mikrocip di dalam badan untuk memudahkan mereka mengesan sekiranya ia dicuri.

“Anjing ini ada keturunan dan mikrocip dalam badan kalau orang nak curi. Bonda minta orang asli jagakan. Saya beli anjing ini dan proses melatih ada orang akan ajar. Anjing jenis ini sangat setia dan menjaga tuannya.

No Image Caption

“Pesan Dr Dev yang jual anjing ini, beri dia minum ais waktu tengah hari, mandikan dia pakai shampoo baby, hairdryer atau blower bulunya, sebulan sekali diberikan susu kambing dan juga daging yang direbus,” ujarnya.

Dalam perkongsian sama, Rozita turut menyifatkan anjing jenis itu sebagai haiwan yang cerdik dan lambang keberanian yang tidak boleh digugat selain mempunyai tubuh badan besar menyerupai serigala.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang