'Suspek mungkin kenal mangsa.' Mayat wanita dalam beg ditanam belakang rumah, lelaki 41 tahun ditahan. 6 rekod jenayah lampau termasuk dadah

No Image Caption
A
A
A

PENEMUAN jasad wanita di dalam beg di Kampung Batu 4, Pedas, Negeri Sembilan pada Khamis membawa kepada penahanan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di Melaka pada hari yang sama, tidak sampai 12 jam selepas mayat berkenaan ditemui.

Menurut beliau, sebaik menerima maklumat penemuan mayat di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni, pihak polis segera menggerakkan pasukan untuk mengesan suspek.

“Hasil risikan dan siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan seorang lelaki di sebuah lokasi di Melaka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

No Image Caption

Katanya lagi, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Tampin pagi Jumaat dan dibenarkan selama tujuh hari sehingga 25 Disember ini.

Difahamkan, suspek ditahan disyaki rakan kepada beberapa individu yang dikenal pasti terbabit dalam kes penemuan mayat wanita itu dan memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk dadah.

Berdasarkan siasatan, suspek berkenaan berkemungkinan mengenali mangsa dan setakat ini polis belum mempunyai maklumat sama ada dia terlibat secara langsung atau tidak dalam kes itu.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sementara itu, prosedur bedah siasat dijalankan di Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematian.

"Buat masa ini pihak kami menunggu laporan bedah siasat dan pengecaman daripada ahli keluarga sebelum menjalankan siasatan lanjut mengenai kaitan suspek dengan mangsa. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Media semalam melaporkan, polis mengesahkan mayat yang ditemui di luar kawasan sebuah rumah di Rembau merupakan seorang wanita yang disyaki ada kaitan dengan laporan orang hilang di Ampang, Selangor.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang