Tabah! Bapa OKU sakit jantung besarkan 3 anak seorang diri, menjahit kasut demi menyara keluarga
DI celahan hiruk-pikuk kehidupan warga Melaka, terselit kisah menyentuh hati tentang seorang bapa yang tidak pernah mengenal erti putus asa walau diuji bertubi-tubi.
Razak Baba, 55, bukan sekadar menanggung status sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), malah turut menghidap masalah jantung tahap tiga.
Namun itu bukan alasan untuknya mengangkat bendera putih.
Demi kelangsungan hidup tiga anak yang kini berusia 18, 16 dan 10 tahun, dia terus gigih bekerja sebagai tukang jahit kasut di sekitar Malim Jaya.

“Sekarang, saya ayah… saya juga ibu,” luah Razak.
Lebih memilukan, insan yang sepatutnya bersama mengharungi kesusahan pergi tanpa sebarang alasan.
Sehingga kini, lelaki itu mengingati detik perit apabila pulang daripada kerja dan mendapati isterinya sudah tiada.
Malah, segala kelengkapan rumah turut dibawa pergi tanpa sebarang kata.
Walau jasad tidak sekuat dulu, Razak tetap memerah kudrat mencari rezeki halal. Hospital swasta mungkin tidak termampu, namun dia tetap berikhtiar mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, dengan pemeriksaan lanjut dijadualkan pada Ogos ini.
“Insya-ALLAH, saya cuba kuat. Anak-anak perlukan saya,” tambahnya, menyimpan tekad yang sama setiap kali rasa penat datang bertandang.
NAFASBAHARU
Dalam deretan cabaran, hadir juga sinar harapan. Baru-baru ini, Razak menerima sumbangan sebanyak RM500 daripada orang ramai yang prihatin.

Sumbangan itu mungkin tidak mengubah seluruh kehidupannya, namun cukup untuk meringankan sedikit beban dan menyuburkan rasa syukur di hati.
Kisah lelaki itu mula tular apabila dikongsikan di TikTok oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai Ustad Jungler.
Dalam video tersebut, dia menyeru masyarakat untuk bersama-sama membantu insan tabah tersebut sama ada melalui bantuan kewangan, sokongan moral atau apa sahaja bentuk pertolongan yang mampu memberi nafas baharu.
Di tengah masyarakat yang serba sibuk, cerita seperti ini mengingatkan kita bahawa ada jiwa-jiwa hebat yang bertarung dalam senyap demi keluarga tercinta.

Kadangkala, bantuan kecil yang kita hulurkan mampu menjadi harapan besar buat mereka.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

