‘Tak senang nak beli nasi tu...’ Sedih pekerja gerai buang juadah RM6, ibu berderai air mata. Luah tak mudah cari duit

SAYU hati melihat makanan yang dibeli dengan titik peluh sendiri dibuang begitu sahaja, lebih-lebih lagi pada zaman serba mahal ini.
Sebuah video tular milik seorang wanita meruntun hati warga maya menceritakan kisah pilu makanan yang dibelinya dibuang pekerja.
Wanita yang dikenali sebagai Mahany memaklumkan kejadian itu berlaku ketika dirinya hendak menjamu selera di sebuah kedai makan bersama dengan dua anaknya.
"Kami pergi makan, ambilkan nasi, lauk ayam dan sup sayur untuk anak. Kemudian, anak nak pergi ke tandas.
"Pesan dekat mak cik yang ada di situ jangan angkat lagi makanan sebab anak tak makan lagi. Tetapi balik dari tandas, tengok makanan sudah tak ada.
"Ayam dan nasi pun banyak lagi. Boleh makan untuk dua orang. Ya ALLAH makcik, kenapa buang?

"Tak senang makcik nak beli nasi itu," katanya dalam tangisan.
Mahany kemudian memuat naik sebuah lagi video menjelaskan kejadian yang berlaku.
Ujarnya, dia berasa sangat sedih dan kecewa kerana dirinya bukan datang daripada golongan senang.
"Saya tak senang mak cik nak beli nasi itu. Walaupun makanan itu harga RM6, tapi itu rezeki kami.
"Saya baru makan dalam tiga suap ja masa dua orang anak saya nak pergi tandas.
"Saya sebagai ibu tak sedap hati jadi makan laju-laju dan tinggal lah meja dan ikut pergi tandas.
"Saya pesan (tolong tengokkan) sebab ayam tu besar, rezeki itu nak bagi kenyang anak makan.
"Selepas saya keluar tandas, kami anak beranak tengok mak cik tu sudah lap meja. Air minuman ja dia tak angkat lagi.

Hantaran itu kemudiannya tular dan meraih 1.2 juta tontonan dan lebih 60,000 tanda suka.
Warganet meluahkan simpati dan berharap Mahany tabah. Tidak kurang juga yang berkongsi pernah mengalami pengalaman seakan serupa.
"Mungkin RM6 bagi sesetengah orang tidak seberapa namun RM6 bagi orang yang susah boleh alas perut seharian. Moga rezeki awak melimpah ruah."
"Faham sangat apa yang awak cakap. Sayang rezeki terbuang begitu sahaja. Mungkin makcik itu terlupa pesanan pelanggan dan tak sengaja."
"Bagusnya akak menghargai makanan. Walaupun sebenarnya kita mampu sahaj untuk beli baru, kan? Tapi itulah, kita sayang makanan tu dibuang."
"Saya faham perasaan seorang ibu. Bab anak dan bab makan jangan main-main, memang boleh sentap."
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang