Tular Werewolf Syndrome Misscelyn kini prasekolah, bapa kongsi pengalaman hari pertama, perlu masa sesuaikan diri
KANAK-kanak yang pernah tular menghidap sindrom jarang jumpa Sindrom Werewolf, Missclyen Roland kini sudah melangkah ke sekolah.
Walaupun berdepan hari pertama yang mencabar, kanak-kanak berusia lima tahun itu kini dilihat semakin menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah baharunya.
Memetik The Star, Missclyen menerima pelbagai reaksi daripada 24 orang rakan sekelas apabila dia menghadiri prasekolah buat kali pertama pada Isnin di SK Sungai Tisang, Bintulu.
Bercakap kepada wartawan akhbar itu, bapanya, Roland Jimbai berkata keadaan bertambah baik apabila beberapa rakan sekelas Missclyen mula bergaul dan berkawan dengannya pada hari kedua persekolahan.
“Hari pertamanya agak berbeza. Ada rakan sekelas yang lari keluar dari bilik darjah, ada yang takut dan ada juga yang mentertawakannya, menyebabkan anak saya berasa tertekan,” katanya.
Menurut Roland, masa diperlukan sebelum anak perempuannya dapat diterima sepenuhnya oleh rakan sekelas.

Tambahnya, pihak sekolah bersama pihak berkuasa berkaitan menasihatkan keluarga mereka supaya membenarkan Missclyen menghadiri sekolah selama beberapa hari terlebih dahulu bagi melihat sama ada dia dapat menyesuaikan diri dengan selesa sebelum sebarang keputusan jangka panjang dibuat.
“Kebiasaannya, seorang kanak-kanak mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sebelum mula berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
“Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan kami memahami perkara itu,” katanya.
Di sebalik cabaran yang dihadapi, Missclyen sebenarnya seronok ke sekolah.
Artikel berkaitan:
- Tuah Missclyen kini anak angkat Raja Permaisuri Agong, alami penyakit 'rare' Sindrom Werewolf
- Wajah dan tubuh ditumbuhi bulu. Penyakit Jarang jumpa hipertrikosis undang masalah mental kepada penghidapnya

“Apabila ditanya sama ada dia suka ke sekolah, dia menjawab ya.
“Dia melihat adik-beradiknya pergi ke sekolah dan itu membuatkan dia juga ingin ke sekolah,” kata Roland.
Lebih memudahkan apabila abang dan kakak si kecil itu bersekolah di sekolah rendah yang sama.
Abangnya berada di Tahun Satu manakala kakaknya di Tahun Empat, sementara kakak sulungnya kini di Tingkatan Satu.
Roland berkata, kehadiran adik-beradik di sekolah yang sama membantu Missclyen berasa lebih selamat serta memudahkan proses penyesuaian diri dengan persekitaran baharu.
“Buat masa ini, kami memantau perkembangannya dan melengkapkan semua dokumen yang diperlukan sebelum memuktamadkan pengaturan persekolahannya,” katanya.
Sekadar info, Sindrom Werewolf atau penyakit hipertrikosis merupakan keadaan jarang berlaku yang menyebabkan pertumbuhan rambut yang berlebihan pada muka atau badan penghidapnya.
Terdahulu, Missclyen menarik perhatian selepas dijadikan anak angkat oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ketika baginda menjadi Raja Permaisuri Agong.
Missclyen yang baharu berusia dua tahun ketika itu ditemui baginda ketika konvoi Kembara Kenali Borneo di Masjid Al-Falah, Bintulu
Tunku Azizah berkenan menjadikan kanak-kanak istimewa itu sebagai anak angkat dan menaja pendidikan dan rawatan perubatan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
