‘Walaupun sedih kehilangannya saya reda…,’Bapa kenang impian anak kerja firma audit terkemuka terbantut, ajal datang selepas ziarah keluarga
KEHILANGAN insan tersayang adalah satu kehilangan yang sukar diterima, apatah lagi apabila mereka meninggalkan impian dan harapan yang belum tercapai.
Begitulah kisah pemergian seorang anak muda berbakat, Aysar Zahran Saiful Alimin, dalam satu kemalangan yang melibatkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang pada Ahad yang menyentuh hati ramai.
Asyar Zahran merupakan penuntut cemerlang dalam bidang perakaunan dan pernah meraih pencapaian luar biasa dengan menduduki tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) peperiksaan Program Asas Perakaunan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA-FIA) pada tahun 2023.
Bapa Allahyarham, Saiful Alimin Mohd Mokhtar berkata, anaknya mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi akauntan di firma audit terbesar dunia, atau lebih dikenali sebagai 'The Big Four'.
Sebagai bapa, beliau sentiasa memberi sokongan penuh kepada anak bujangnya.
"Saya memberi galakan sepenuhnya kepada dia kerana itu peluang kerjaya yang baik.
"Malah saya juga mempunyai beberapa rakan yang bekerja sebagai akauntan. Jadi, saya selalu beritahu Allahyarham supaya mengambil contoh daripada mereka.
"Walaupun sangat sedih kehilangannya, saya reda dengan kejadian ini," katanya.
Menurut beliau lagi, Aysar Zahran seorang anak yang lemah lembut, sentiasa menunggang motosikal dengan berhemah dan dikenali ramai dengan senyuman manisnya.
Semasa kejadian, Aysar Zahran dalam perjalanan pulang ke kolej penginapan di Gombak selepas menghabiskan masa di rumah dekat Hulu Langat dan menikmati aktiviti kegemarannya iaitu memanah.
Sementara itu, pensyarah Aysar Zahran, Gary Danny, turut berkongsi kenangan manis bersama pelajarnya yang berusaha gigih untuk berjaya.
"Aysar Zahran bukan datang dari keluarga senang. Dia menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan selalu menunjukkan usaha tinggi dalam kelas.
“Dia suka duduk di barisan paling hadapan, bersemangat tinggi dan sentiasa tersenyum," katanya.
Gary dengan sayu berkongsi pernah mengajar Aysar Zahran bagi kertas MA1 dalam peperiksaan ACCA-FIA, yang membawa kejayaan cemerlang buat Allahyarham.
"Kenangan paling manis dikongsi bersama Aysar Zahran ialah apabila saya menghubunginya menerusi telefon untuk memberitahu keputusan peperiksaan tersebut dan kami sama-sama menjerit gembira di telefon," kongsinya.
Sebagai info, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 5.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Hulu Langat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang