Wanita warga asing langgar tiga motosikal sebelum serang orang awam guna pisau, enam individu cedera

No Image Caption
A
A
A

SUASANA tenang di Bandar Kajang pada pagi Rabu bertukar kecoh apabila seorang wanita warga asing dilaporkan memandu dalam keadaan cuai sebelum melanggar tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat.

Bukan itu sahaja, suspek berusia 24 tahun itu turut bertindak menyerang orang awam di kawasan persimpangan yang berhampiran sebuah pusat beli-belah.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.58 pagi.

“Siasatan awal mendapati suspek memandu secara bahaya, sebelum keluar dari kenderaan dan menyerang orang awam dengan sebilah pisau.

No Image Caption

“Hasil bantuan daripada orang awam, wanita terbabit ditahan bersama dua bilah pisau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya pada Rabu.

Susulan kejadian itu, Naazron memaklumkan, enam individu berusia 21 hingga 60 tahun cedera dalam insiden berkenaan.

Dua daripadanya ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut, manakala empat lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Beliau berkata, tiga motosikal turut rosak kerana dilanggar oleh kenderaan yang dipandu wanita terbabit dan motif insiden tersebut masih dalam siasatan.

No Image Caption

Tambahnya, suspek akan direman pada Khamis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817 bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, beberapa video tular di media sosial memaparkan seorang wanita berambut panjang dan baju berwarna putih berlari sambil memegang pisau serta mengejar orang awam di jalan raya.

Rakaman tersebut menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang terkejut dengan tindakan suspek dan mempersoalkan punca wanita terbabit berani bertindak demikian.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang