SIAPA yang tidak suka dengan cendol, bukan? Kalau cuaca panas, minuman itulah yang dicari untuk menghilangkan dahaga.

Namun, bagi segelintir orang, sajian yang menggunakan santan asli itu boleh memberi rasa tidak selesa pada perut.

Bertitik tolak daripada itu, Mohamad Hafiz Ahmad telah membuat eksperimentasi makanan tersebut dengan menjadikannya satu pastri yang enak.

“Saya peminat cendol, tapi perut selalu rasa sebu dan berangin selepas makan makanan tersebut. Oleh yang demikian, selepas berfikir, saya cuba menghasilkan satu menu pencuci mulut menggunakan isi cendol yang boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

 

Ujar Mohamad Hafiz, percubaan pertama dilakukan ketika negara sedang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan membuahkan hasil.

Beliau terus menamakan menunya sebagai Cream Puff Cendol.

Selepas ahli keluarga dan rakan-rakan memberi respons yang baik, pegawai polis itu memberanikan diri dengan berkongsi resipi di media sosial pula.

“Sekali lagi, saya terima reaksi yang memberangsangkan, malah ada yang meminta saya mengadakan kelas demonstrasi memasak sajian berkenaan,” katanya sambil tertawa kecil.
Berdasarkan resipinya, Mohamad Hafiz berkata, satu adunan tepung boleh menghasilkan kira-kira 30 hingga 40 biji kuih.

“Untuk penyediaan doh hidangan ini, ia sama sahaja seperti kebanyakan cream puff lain. Apa yang membezakannya cuma pada inti, saya menggunakan cendol,” ujarnya yang gemar memasak dan membuat kek.

Memberi tip tambahan, anak kelahiran Negeri Sembilan itu menggalakkan saiz kuih hanya sebesar ibu jari kaki sahaja dan jarakkan kedudukan kerana puff akan mengembang.

“Renjiskan sedikit air pada permukaan pastri dan tekankan bahagian atas yang terbentuk di pusaran adunan supaya tidak hangus atau terlalu garing semasa proses membakar,” katanya.

Secara keseluruhan, penyediaan hidangan itu memakan masa lebih kurang sejam.
Bagaimana pula proses menghasilkan inti? Akui Mohamad Hafiz, penyediaannya sedikit leceh.

Ini kerana Cream Puff Cendol air tangannya perlu ditambah gula melaka.
Disebabkan itu, krim segar dan tepung kastard segera yang digunakan perlu disukat dengan tepat.

“Penggunaan dua bahan ini perlu seimbang supaya inti yang dihasilkan tidak menjadi terlalu manis. Apa yang saya boleh katakan, gabungan gula melaka dan isi cendol dalam adunan inti pastri membuatkan resipi ini mempunyai rasa yang sama seperti menikmati cendol sebenar,” katanya.

Baca juga: Resipi karipap pusing legend rangup & sedap. Ini teknik kulit cantik berpusar, baru betul-betul jadi

Kepada pembaca SinarPlus yang ingin mencuba membuat kulinari tersebut, nasihat Mohamad Azman, sediakan inti terlebih dulu.

“Inti yang telah disimpan di dalam peti sejuk akan menjadi lebih kental dan mudah untuk proses piping,” katanya.

Iklan

 

RESIPI CREAM PUFF CENDOL

Bahan puff
100 gram (g) mentega
150g air
140g tepung
3 biji telur saiz B
Sedikit emulco pandan
Sedikit pewarna hijau

Bahan inti cendol
200g tepung kastard segera
250g UHT krim putar
150 mililiter air
250g krim segar
100g gula melaka (dicairkan)
150g cendol

Cara penyediaan puff:
1. Panaskan ketuhar pada suhu 220 darjah Celcius.
2. Didihkan air bersama mentega, emulco pandan dan pewarna hijau. Perlahankan api. Masukkan tepung sambil kacau dan tutup api. Terus aduk sampai sebati dan membentuk segumpal adunan.
3. Biarkan adunan sejuk selama 5 hingga 10 minit dan masukkan dalam mesin pengadun. 4. Seterusnya letak telur sedikit demi sedikit. Adun hingga sebati.
5. Paipkan adunan menggunakan piping beg dengan acuan semperit ke dalam dulang yang dialas dengan kertas minyak.
6. Sebelum dibakar, sembur dahulu permukaan puff dengan air.
7. Masukkan ke dalam ketuhar dan bakar selama 20 hingga 25 minit sehingga bertukar warna perang keemasan.

Baca juga:Sedapnya hirup panas-panas! Resipi sup dumpling, mi wantan kicap sebiji macam restoran Cina Muslim

Iklan

Baca juga: Viral! Donat buat peach jadi ‘kegilaan’ ramai. Tetap lembut walau dah berjam-jam, ini resipinya

Cara penyediaan inti:
Putarkan tepung kastard segera, krim putar UHT, air sejuk dan gula melaka. Ketepikan.
Dalam bekas lain, putarkan krim segar sehingga tekstur menjadi halus. Kemudian masukkan campuran kastard tadi dan putar hingga kental. Seterusnya, masukkan cendol dan kaup balik sahaja.

Sumber MOHAMAD HAFIZ AHMAD

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!